Rundingan 40 peratus hasil Sabah diteruskan di bawah kerajaan sementara
- nabalunews
- Nov 13
- 1 min read

13 November 2025
KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan melalui Perbendaharaan telah menghantar surat rasmi kepada kerajaan sementara Sabah bagi memulakan rundingan teknikal berhubung pemberian khas 40 peratus hasil diperoleh dari negeri berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rundingan akan dibuat bagi perkara teknikal sementara menunggu pembentukan kerajaan negeri yang baharu selepas selesai Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah ke-17 nanti.
Katanya, langkah itu bagi mengelak tanggapan bahawa Kerajaan Persekutuan mahu melengah-lengahkan rundingan, sebaliknya menurut beliau, proses tesebut sudah berjalan.
“Sekarang sekurang-kurangnya Ketua Setiausaha Perbendahraan (Datuk Johan Mahmood Merican) telah menulis surat kepada Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri menyatakan boleh mula berunding soal-soal teknikal termasuk perkara yang disebut dalam penghakiman.
“Kemudian dalam jawatankuasa teknikal tentunya dibincangkan untuk rujuk kepada Menteri Kewangan, Ketua Menteri dan Jemaah Menteri, tentunya tunggu sehingga selesai pilihanraya negeri dan kerajaan baharu dibentuk,” katanya pada sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) berhubung status rundingan pemberian khas 40 peratus hasil Sabah memandangkan negeri tersebut ketika ini sedang berdepan pilihanraya.
Dalam pada itu, Anwar turut mengingatkan proses rundingan atau penyelesaian masalah mahupun pertikaian yang timbul dalam isu pemberian khas 40 peratus hasil Sabah perlu dibuat berpaksikan semangat kesatuan dan perpaduan sebagai sebuah negara.
Beliau berkata, tanggungjawab Kerajaan Persekutuan adalah menjaga hubungan baik dengan negeri, selain berusaha menyelesaikan sebarang pertikaian yang timbul.
"Kalau ada kegelisahan munasabah (disuarakan negeri), kita harus dengar dan cuba selesaikan. Ada pihak lebih rasional yang sedia mengatur rundingan.
"Rundingan boleh diadakan apabila ada hubungan baik. Cari kerajaan negeri yang ambil sikap agak lebih positif, jadi proses akan lebih cepat dan baik,” ujarnya.


















Comments