Rundingan tuntutan 40 peratus Sabah dipercepat selepas kerajaan negeri baharu dibentuk
- nabalunews
- 1 day ago
- 2 min read

11 November 2025
KUALA LUMPUR: Rundingan berhubung tuntutan 40 peratus hasil Sabah dijangka dipercepatkan pada minggu pertama Disember selepas kerajaan negeri baharu dibentuk.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Kerajaan Persekutuan tidak boleh membuat keputusan awal berhubung tuntutan berkenaan memandangkan terdapat proses tertentu yang perlu dipatuhi.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, Jemaah Menteri akan diberi taklimat rasmi oleh Peguam Negara dalam Mesyuarat Khas Kabinet pada petang ini mengenai draf penghakiman keputusan tuntutan tersebut.
“Seperti mana saya telah umumkan semalam di Tawau, pandangan peribadi saya tentang 40 peratus menghormati keputusan hakim itu saya sudah suarakan, tetapi kita belum dengar pandangan Peguam Negara secara rasmi kerana alasan penghakiman hanya siap pada Jumaat lalu.
“Peguam Negara adalah penasihat kerajaan jadi kita kena dengar, kemudian Jemaah Menteri akan bincang dan putuskan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr Richard Rapu @ Aman Begri (GPS-Betong) mengenai status berhubung keputusan kehakiman berkaitan tuntutan kerajaan Sabah dan kesannya kepada perancangan Dasar Ekonomi MADANI secara keseluruhan.
Anwar berkata, kerajaan bersedia untuk mengurangkan peruntukan pembangunan bagi Sabah sebagai usaha memenuhi gesaan pemulangan hak 40 peratus hasil Persekutuan kepada negeri itu.
Namun katanya, keputusan mengenainya perlu diteliti secara menyeluruh bagi mengelak pertelagahan antara Kerajaan Persekutuan dan Sabah.
“Ada peruntukan-peruntukan memang syarat Kerajaan Persekutuan seperti pendidikan, kesihatan dan pertahanan tetapi pembangunan kita boleh kurangkan.
“Kalau isunya 40 peratus, kita kurangkan pembangunan, kita tampung 40 peratus kepada negeri,” ujarnya.
Menurut beliau, Kerajaan Persekutuan secara prinsip bersetuju terhadap Perkara 112C dan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, selain sudah mula berunding bagi menyelesaikan perkara berbangkit.
Katanya, pemberian peruntukan khas kepada Sabah adalah perkara berbangkit dan sentiasa dirundingkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Fadillah Yusof.
“Ada rundingan dimuktamadkan setelah mesyuarat Perdana Menteri termasuk Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah, namun (perkara ini) tidak dapat dimuktamadkan, maka disebut interim. Sebab itu, RM26 juta naik RM150 juta semasa Bera (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) jadi Perdana Menteri.
“Cuma saya telah diperingatkan oleh Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah, saya fikir wajar diberi pertimbangan serius. Maka kita naikkan ke RM600 juta, itu pun disebut interim sebagai sementara kerana melihat kepada peruntukan daripada negara,” jelasnya.














