RUU Pekerja Gig 2025 diluluskan di Dewan Rakyat hari ini
- nabalunews
- Aug 28, 2025
- 2 min read

28 Ogos 2025
KUALA LUMPUR: Sektor ekonomi gig melakar sejarah baharu apabila Rang Undang-undang (RUU) Pekerja Gig 2025 bagi membela nasib 1.2 juta pekerja sektor berkenaan diluluskan di Dewan Rakyat, hari ini.
RUU dengan 112 Fasal dan dibentangkan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim itu diluluskan dengan suara majoriti selepas dibahaskan 23 Ahli Parlimen dari blok kerajaan dan pembangkang.
Empat aspek utama di bawah RUU itu berpandukan permasalahan sektor berkenaan, iaitu definisi pekerja gig, majlis tiga hala untuk menetapkan isu seperti pendapatan, mekanisme penyelesaian pertikaian dan perlindungan keselamatan sosial.
Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) berkata, dengan kelulusan RUU itu, status dan kedudukan pekerja gig dalam landskap perburuhan negara diperkukuh menerusi perlindungan perundangan yang jelas terhadap hak mereka, tanpa menjejaskan fleksibiliti serta ekosistem di bawahnya.
“RUU ini bukan sahaja melindungi pekerja sektor p-hailing dan e-hailing, tetapi juga meliputi pelbagai sektor profesional serta kreatif yang kini turut bergantung pada model pekerjaan gig.
“Pekerja gig kekal fleksibel dari segi cara dan masa bekerja tanpa terikat kepada struktur pekerjaan konvensional namun turut mendapat perlindungan di bawah peruntukan undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut KESUMA, antara langkah penting digariskan dalam RUU adalah kejelasan mengenai takrif pendapatan dan kewajipan mewujudkan mekanisme kilanan bagi melindungi pekerja gig serta memperkukuh tadbir urus industri.
Jelasnya, kewajipan meletakkan mekanisme ini dalam setiap perjanjian perkhidmatan termasuk penyedia platform memastikan pekerja gig mempunyai saluran rasmi untuk mengemukakan aduan atau pertikaian dengan entiti kontrak.
“Melalui mekanisme ini, sebarang isu dapat diselesaikan secara telus dan cepat di peringkat dalaman sebelum dibawa ke Pendamai atau Tribunal,” katanya.
Entiti kontrak merujuk kepada penyedia dan bukan penyedia platform yang menawarkan perkhidmatan antaranya lakonan, aktiviti perfileman, muzik, estetik (kecantikan), terjemahan, kewartawanan, penjagaan sebelum/selepas bersalin, penjagaan paliatif, pemulihan serta fotografi dan videografi.
Di bawah RUU ini, Tribunal Pekerja Gig ditubuhkan sebagai sebuah badan kuasa kehakiman khusus bagi mendengar pertikaian pekerja gig, manakala Majlis Perundigan sebagai mekanisme memastikan suara semua pihak terlibat dalam ekonomi gig diambil secara seimbang dan berstruktur.
“Undang-undang ini membuktikan kesungguhan kerajaan menterjemahkan aspirasi Malaysia MADANI dalam memastikan keterangkuman, kesejahteraan dan keadilan sosial untuk semua pekerja, termasuk mereka dalam sektor ekonomi gig.
“RUU ini juga merupakan hadiah sempena Hari Kemerdekaan ke-68, melambangkan perjuangan berterusan kerajaan demi kemerdekaan sebenar pekerja melalui perlindungan, keadilan, dan maruah dalam dunia pekerjaan,” katanya.















Comments