Sabah akan adakan Sidang DUN Khas untuk ambil alih kawal selia bekalan elektrik tahun depan

13 Jun 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan mengadakan satu Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Khas pada 3 Januari tahun depan bagi membolehkan kerajaan negeri mengambil alih kuasa kawal selia bekalan elektrik negeri daripada Persekutuan.
Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah bersetuju secara prinsip untuk menyerahkan kuasa tersebut kepada Sabah mulai 1 Januari 2024.
Beliau berkata, langkah ini adalah sejajar dengan aspirasi rakyat Sabah untuk mendapatkan autonomi dalam hal ehwal negeri, termasuk bekalan elektrik yang merupakan sektor penting untuk pembangunan sosioekonomi.
Oleh itu, bagi mencapai sasaran tersebut, penyelarasan dan kerjasama daripada semua pihak penting.
Jelas beliau, antara langkah yang perlu dilakukan ialah kelulusan Kabinet Persekutuan untuk memohon dan mewartakan Perkara 95C Perlembagaan Persekutuan, bagi menggantung Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 448), Akta Tenaga Boleh Diperbaharui 2011 (Akta 725), dan Akta Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari 2011 (Akta 726), di Sabah.
"Seterusnya, perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong diperlukan dan disusuli dengan urusan (Lay Order) semasa sidang Parlimen, yang boleh dibentangkan selepas tarikh penggantungan tersebut," katanya dalam satu kenyataan selepas mesyuarat Jawatankuasa Pemandu mengenai penyerahan kuasa kawal selia bekalan elektrik kepada Sabah.
Mesyuarat itu dipengerusikan bersama oleh Hajiji dan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad.
Hajiji turut menggesa kerajaan Persekutuan perlu memudahkan dan meneruskan proses pelaksanaan projek-projek yang dirancang di bawah pelan tersebut, supaya tidak mengganggu operasi bekalan elektrik di Sabah.
Tambah beliau, kerajaan negeri juga sedar akan kepentingan meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui seperti solar dan hidroelektrik, sebagai sebahagian daripada komitmen untuk mencapai matlamat neutral karbon negara dan melindungi alam sekitar, justeru kerajaan negeri akan menambah kapasiti tenaga solar berskala besar sebanyak 100MW pada tahun 2026 di Pantai Timur Sabah
Beliau turut menegaskan pendirian Sabah mengenai projek Talian Penghantaran 275kV Pautan Selatan dari Sipitang ke Tawau, yang akan meningkatkan daya tahan grid dan membolehkan pengagihan kapasiti elektrik yang lebih tinggi kepada pengguna industri utama.
Beliau berkata, projek tersebut mesti dilaksanakan dengan pembiayaan daripada geran kerajaan Persekutuan, kerana ia merupakan projek kemudahan awam yang perlu disiapkan menjelang 2028, sekaligus membolehkan kuasa daripada dua stesen hidroelektrik baharu disalurkan kepada pengguna melalui grid negeri.
Bình luáºn