SABAH FC GAGAL JINAKKAN JDT
7 April 2021
KOTA KINABALU: Sabah FC gagal jinakkan Johor Darul Ta'zim (JDT) apabila tumbang 1-4 di tangan pendahulu liga itu pada saingan Liga Super di Stadium Likas, malam semalam.
Diiringi sokongan hampir 3,000 penyokong yang dibenarkan buat kali pertama menyaksikan perlawanan di stadium, tekad Sabah FC menamatkan rekod tanpa kalah juara bertahan itu disentap apabila dibolosi dua gol dalam tempoh dua minit untuk JDT mendahului 2-0 pada babak pertama.
Arif Aiman Mohd Hanapi memulakan jaringan JDT seawal minit ketujuh dan belum sempat Sabah FC menyusun rentak, Bergson Gustavo meletakkan JDT 2-0 pada minit kelapan.
Kurniawan dalam sidang media selepas itu berkata, berhadapan dengan pasukan elit, anak-anak buahnya agak gementar pada awal permainan.
Katanya, situasi disukarkan lagi dengan ketiadaan pertahanan tengah import, Park Tae Su yang menjalani penggantungan permainan serta penggerak tengah, Mohd Azizan Nordin yang tidak dapat bermula sebagai kesebelasan kerana belum pulih sepenuhnya dari kecederaan.
Kurniawan berkata, beliau terpaksa mengambil risiko menyenaraikan Mohd Syukri Baharun dan Ricco Nigel Milus yang masih kurang minit permainan sebagai kesebelasan sambil membuat percaturan hanya menggunakan pengalaman Mohd Amri Yahyah pada babak kedua. Amri bagaimanapun telah dimasukkan menggantikan Ricco pada akhir babak pertama.
Ketinggalan 2-0 pada babak pertama, Kurniawan mahu pemain bermain dengan lebih agresif pada babak kedua dan ianya menampakkan hasil apabila mereka berjaya merapatkan jurang kepada 1-2 hasil jaringan dari sepakan penalti Levy Madinda pada minit ke-58.
Sabah FC bagaimanapun kemudiannya sukar meneruskan rentak garang apabila hanya bermain dengan 10 pemain lebih 30 minit ekoran layangan kad kuning kedua untuk layangan kad merah kepada pemain tengahnya, Maxsius Musa pada minit ke-59.
Kurniawan berkata, layangan kad merah ke atas Maxsius melemahkan pasukan dan beliau juga kecewa kerana pasukan masih dihantui dengan kelemahan melakukan kesalahan sendiri yang membawa padah.
JDT memanfaatkan kekurangan itu dan memadamkan sebarang usaha Sabah FC untuk bangkit dengan tambahan dua gol menerusi Bergson pada minit ke-68 dan sepakan penalti Leandro Sebastian Velazquez pada minit ke-87.
Kekalahan itu kembali mendekatkan Sabah FC dengan zon penyingkiran dengan hanya lima mata dari tujuh perlawanan.
Sabah FC hanya bernasib baik berada di atas Melaka United yang telah ditolak tiga mata kerana masalah kewangan. Melaka yang kini berbaki empat mata berada di zon penyingkiran bersama UiTM yang baru mengutip satu mata.
Sambil itu, JDT terus gah di tangga teratas dengan 17 mata tetapi masih diekori rapat Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang hanya satu mata di belakang manakala Penang FC di tangga ketiga dengan 14 mata.
Sabah FC akan meneruskan cabaran menentang Penang FC di tempat lawan, esok (9 April). - Utusan Borneo
Comentarios