Sabah juara keseluruhan Kejohanan Kebangsaan Gusti Lengan 2021
16 Dis 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Pasukan Gusti Lengan Sabah muncul juara keseluruhan Kejohanan Kebangsaan Gusti Lengan 2021 yang berlangsung di Selangor baru-baru ini.
Sabah diwakili 26 atlit berjaya membawa pulang 13 emas, 13 perak dan 7 gangsa menewaskan 14 pasukan lain untuk muncul juara.
Lebih membanggakan lagi buat pasukan Sabah, Pembantu Ketua Pasukan Calveen Petrus berjaya menjadi Juara Keseluruhan Tangan Kanan (Overalls Right Hand) selepas menyumbang dua pingat emas bagi kategori tangan kiri dan kanan 105 kg ke atas.
“Saya sangat gembira dan juga tidak menjangkakan untuk menang ‘Overalls’ kerana waktu latihan yang amat singkat.
“Saya beterima kasih kepada semua pihak yang memberi sokongan terutamanya jurulatih yang memberikan kata-kata semangat kepada saya untuk beraksi dengan cemerlang,” katanya ketika ditemui wartawan Nabalu News.
Ketika ditanya peluang sukan gusti lengan untuk dipertandingkan dalam Sukan Asia Tenggara (SEA) Kemboja 2023, Calveen berharap agar cadangan tersebut dapat direalisasikan.
“Saya berharap sukan gusti lengan dapat dipertandingkan pada masa itu. Saya ingin merasai perarakan bersama atlit Malaysia yang lain.
“Tapi paling penting, semestinya saya ingin menang pingat emas dalam sukan itu jika dipertandingkan dalam Sukan SEA akan datang,” katanya.
Terdahulu Presiden Persekutuan Gusti Lengan Malaysia (MyArms), Mohd Zil Fadli Abd Halim berkata MyArms bersama rakan-rakan badan induk negara jiran lain seperti Indonesia, Brunei, Filipina dan Singapura akan cuba membida kepada Kemboja untuk menjadikan gusti lengan sebagai sukan yang menawarkan pingat di Sukan SEA 2023 akan datang.
Dalam pada itu, setiap pemenenang terutamanya bagi kategori senior dalam kejohanan ini akan dipilih mewakili Malaysia pada Kejohanan Piala Dunia yang dijadualkan berlangsung di Kuching, Sarawak Mac 2022.
Comments