Sabah, Sarawak dititik berat dalam Bajet 2022Sabah, Sarawak dititik berat dalam Bajet 2022
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Sabah, Sarawak dititik berat dalam Bajet 2022


8 Nov 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


PUTRAJAYA: Jumlah peruntukan perbelanjaan pembangunan (DE) Sabah dan Sarawak dalam Bajet 2022 lebih 20 peratus daripada jumlah peruntukan DE untuk kesemua negeri.


Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan media hari ini menyatakan, kerajaan persekutuan menitikberatkan pembangunan dan kesejahteraan rakyat di kedua-dua negeri itu dalam Bajet 2022.


“Sabah diperuntukkan sebanyak RM5.16 bilion iaitu peningkatan RM104 juta berbanding tahun 2021, manakala Sarawak pula diperuntukkan sebanyak RM4.67 bilion dalam Bajet 2022 (peningkatan RM158 juta berbanding tahun 2021).


“Perbelanjaan DE ini termasuk peruntukan sebanyak RM2 bilion bagi Projek Lebuhraya Pan Borneo iaitu meneruskan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo Sabah daripada Sindumin ke Rampayan Laut dan Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak daripada Semantan ke Jalan Pujut Link,” jelas MOF.


Menurut kenyataan itu lagi, kerajaan juga menyediakan peruntukan dari segi pemberian dan pembayaran Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak yang mana kedua-dua negeri itu kekal sebagai penerima terbesar iaitu 30 peratus daripada jumlah pemberian kepada kesemua kerajaan negeri.


Beberapa peruntukan khusus bagi Sabah dan Sarawak termasuk penaiktarafan sekolah daif yang melibatkan peruntukan sebanyak RM746 juta, perluasan perlindungan Perkeso.


Program Bumiputera Sabah dan Sarawak iaitu Pendidikan anak-anak Bumiputera berkenaan budaya dan warisan dengan peruntukan sebanyak RM10 juta dan peruntukan DE sebanyak RM1.5 billion bagi pembangunan infrastruktur luar bandar turut diperuntukkan melalui Bajet 2022.


“Perangkaan Bajet 2022 amat menitikberatkan pembangunan dan kesejahteraan kesemua rakyat, tanpa mengira negeri atau kaum, berdasarkan keperluan masing-masing.


“Ia penting agar semua rakyat bakal membangun dan mengecapi kemakmuran terutama sekali apabila negara kini berada di ambang pemulihan dan perkembangan ekonomi,” katanya.


Menurut kenyataan itu, setakat ini rakyat Sabah dan Sarawak telah memanfaatkan pelbagai bantuan-bantuan lain seperti bantuan tunai, program subsidi upah, serta pelbagai program pekerjaan seperti carian pekerjaan, latihan dan peningkatan kemahiran, yang juga akan diteruskan di bawah Bajet 2022.

bottom of page