Sabah, Sarawak perlu rakan kepimpinan Semenanjung perjuangkan pelaksanaan MA63 Sabah, Sarawak perlu rakan kepimpinan Semenanjung perjuangkan pelaksanaan MA63
top of page
  • Writer's pictureIlona Andrew

Sabah, Sarawak perlu rakan kepimpinan Semenanjung perjuangkan pelaksanaan MA63


27 Nov 2021

Oleh Ilona Andrew


PENAMPANG: Sabah dan Sarawak memerlukan rakan kepimpinan Semenanjung bagi memperjuangkan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kerana dasar-dasar dan niat yang bersesuaian untuk memenuhi hak-hak istimewa kedua-dua negeri ini perlu dilakukan di peringkat persekutuan.


Setiausaha Agung Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Nelson W Angang berkata UPKO menyertai Pakatan Harapan (PH) secara rasmi pada 26 Ogos tahun ini kerana PH berkongsi aspirasi yang sama seperti perjuangan berterusan UPKO dalam MA63.


Tambahnya, ini adalah satu kesepakatan yang tepat bagi UPKO untuk meneruskan perjuangan dalam memastikan MA63 direalisasikan sepenuhnya.


Selain itu, katanya perjuangan PH yang berfokuskan kepada rakyat jelata tanpa mengira bangsa, agama, dan etnik juga antara satu faktor UPKO membuat keputusan itu menyertai gabungan itu.


“Umum juga mengakui bahawa terdapat hak-hak istimewa bagi Sabah dan Sarawak yang telah terhakis dan telah hilang akibat daripada pindaan-pindaan yang dibuat di dalam perlembagaan Persekutuan.

“Untuk memperbetulkan dan mengembalikan hak-hak sabah dan sarawak yang telah terhakis ini, kita memerlukan sokongan sebanyak dua-per-tiga daripada ahli-ahli Parlimen untuk meminda perkara-perkara atau peruntukan-peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Jumlah kerusi Parlimen yang ada di negeri Sabah adalah sebanyak 25 kerusi. Bagi Sarawak mempunyai kerusi Parlimen sebanyak 31 kerusi. Ini bermaksud jumlah maksimum bagi kerusi parlimen daripada borneo adalah sebanyak 56 kerusi,” katanya ketika menyampaikan ucapannya semasa Persidangan Agung Luar Biasa UPKO 2021, di Dewan Pusat Kebudayaan Penampang, hari ini.

Menurut Nelson, adalah penting bagi Sabah dan Sarawak untuk mencari rakan di peringkat persekutuan yang memahami aspirasi dalam melaksanakan MA63 memandangkan sokongan dari sekurang-kurangnya 148 ahli parlimen diperlukan untuk memastikan pindaan-pindaan yang bersesuain dilakukan didalam Perlembagaan Persekutuan.


“Janganlah kita hanya menjadi jaguh kampung di negeri sendiri namun perkara yang amat penting di peringkat persekutuan masih gagal dilaksanakan disebabkan hanya berniat untuk bermain sentimen tanpa memikirkan apa sebenarnya yang diperlukan,” ujarnya.


Nelson juga menyatakan pembuatan keputusan mengenai perkara-perkara penting lazimnya tertumpu dan berpusat di peringkat Persekutuan.


Tambahnya, polisi-polisi dan dasar yang dibuat seringkali tersasar daripada keperluan serta kesesuain demografi Sabah.


"UPKO berperanan dalam memastikan perkara ini dapat diperbetulkan dan diperbaiki dengan rakan-rakan diperingkat persekutuan yang mempunyai sifat keterbukaan untuk mendengar dan menerima pendapat serta idea yang diberikan.


"Oleh sebab itu, kerjasama serta kesepakatan yang utuh di peringkat Persekutuan amatlah penting," jelasnya.

bottom of page