top of page

Sabah terima peruntukan pembangunan kedua tertinggi tahun 2025

  • nabalunews
  • Aug 28, 2025
  • 2 min read

28 Ogos 2025


KUALA LUMPUR: Sabah terus diberi keutamaan dalam pembangunan negara apabila menerima RM6.12 bilion peruntukan pembangunan asas bagi tahun 2025, menjadikannya negeri kedua tertinggi selepas Wilayah Persekutuan.


Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata jumlah itu bersamaan 14.84 peratus daripada keseluruhan agihan.


Manakala katanya, dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Sabah memperoleh jumlah tertinggi iaitu RM28.64 bilion atau 16.78 peratus.


“Kerajaan telah memberi keutamaan agihan peruntukan pembangunan asas kepada enam negeri kurang membangun, termasuk Sabah sejak 2021 di bawah RMK12 dan keutamaan ini terus dikekalkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13),” katanya di Dewan Rakyat hari ini.


Beliau menjawab soalan Datuk Jonathan Yasin (GRS-Ranau) mengenai pengagihan peruntukan yang tidak seimbang di antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung yang dilihat menyebabkan kemunduran Sabah, serta intipati RMK13 untuk menyeimbangkan masalah jurang pembangunan antara wilayah.


Hanifah berkata, keseimbangan kemajuan ekonomi wilayah dan pengukuhan pembangunan luar bandar secara holistik merupakan tumpuan utama dalam RMK13, termasuk pemantauan projek yang lebih berkesan serta pemantapan keselamatan sempadan dan perairan.


“Selain itu, fungsi perbadanan kemajuan ekonomi negeri serta lembaga kemajuan wilayah akan turut diperkukuh bagi merancakkan asas ekonomi setempat, termasuk memberi galakan kedua-dua agensi ini menceburi aktiviti ekonomi bernilai tinggi dan sektor strategik berimpak besar.


“Usaha ini juga termasuk memperluas akses kepada infrastruktur dan perkhidmatan asas bagi menarik lebih banyak pelaburan serta mempercepat integrasi ekonomi,” katanya.


Bagi Sabah katanya, lima sektor strategik dikenal pasti sebagai pemacu pertumbuhan utama iaitu ekonomi biru, pertanian pintar, industri hiliran berasaskan komoditi, pelancongan lestari dan tenaga boleh diperbaharui.


Dalam pada itu, Hanifah berkata Kementerian Ekonomi telah memulakan Program Jelajah Jalinan Borneo bagi mendapatkan maklum balas secara langsung daripada rakyat di Sabah dan Sarawak berhubung keperluan sebenar di peringkat tempatan.


“Kerajaan percaya inisiatif dan strategi dirangka dalam RMK13 ini akan dapat mengurangkan jurang pembangunan antara wilayah di Malaysia serta memastikan kelestarian rakyat serta desa setara dengan kawasan bandar,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page