top of page

Sabah tidak boleh mengeluarkan kad pengenalan sendiri - KDN

  • nabalunews
  • 5 hours ago
  • 2 min read

5 Februari 2026


KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Sabah tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan kad pengenalan sendiri walaupun terdapat peruntukan khas berkaitan negeri itu di bawah Perkara 161E(4) Perlembagaan Persekutuan.


Perkara itu dijelaskan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam jawapan bertulis kepada soalan lisan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau pada sidang Dewan Rakyat, di sini pada Rabu.


Madius dalam soalannya meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan sama ada Perkara 161E(4) Perlembagaan Persekutuan membolehkan Kerajaan Negeri Sabah mengeluarkan kad pengenalan yang tersendiri.


Menurut KDN, Perkara 161E(4) tidak memperuntukkan kuasa sedemikian kepada Kerajaan Negeri Sabah. Sebaliknya, peruntukan tersebut hanya bertujuan melindungi kuasa imigresen negeri, khususnya berkaitan kemasukan ke Sabah dan kemastautinan, seperti yang telah diberikan oleh undang-undang Persekutuan, supaya kuasa itu tidak boleh dipinda atau ditarik balik.


“KDN menegaskan bahawa peruntukan ini tidak memberi kuasa atau memperluaskan bidang kuasa Kerajaan Negeri Sabah untuk mewujudkan atau mengeluarkan kad pengenalan sendiri,” menurut jawapan bertulis itu.


KDN menjelaskan bahawa urusan kewarganegaraan dan pendaftaran penduduk adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan selaras dengan Perkara 14 hingga 15 Perlembagaan Persekutuan serta Jadual Kesembilan, Senarai I (Persekutuan).


Urusan tersebut, menurut KDN, dilaksanakan melalui Akta Pendaftaran Negara 1959 [Akta 78] dan Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, yang dengan jelas memperuntukkan bahawa pendaftaran penduduk dan pengeluaran kad pengenalan adalah tanggungjawab Ketua Pengarah Pendaftaran Negara di bawah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).


Tambah KDN, akta dan peraturan sedia ada tidak memperuntukkan sebarang kuasa kepada Kerajaan Negeri untuk mengeluarkan kad pengenalan atau dokumen identiti yang membawa implikasi kewarganegaraan.


“Oleh itu, sebarang pengeluaran kad pengenalan mestilah dilaksanakan secara berpusat oleh Kerajaan Persekutuan bagi memastikan keseragaman pentadbiran, kedaulatan undang-undang serta keselamatan negara,” menurut kementerian itu lagi.


Kerajaan Persekutuan turut menegaskan bahawa walaupun Sabah mempunyai peruntukan perlindungan khas di bawah Perkara 161E(4), hak dan tanggungjawab untuk mengeluarkan kad pengenalan kekal sebagai kuasa eksklusif Kerajaan Persekutuan dan tidak boleh dilaksanakan oleh mana-mana kerajaan negeri.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page