top of page
  • Wartawan Nabalu News

Saksi tidak hadir beri keterangan, perbicaraan 1MDB ditangguhkan petang ini



6 Jan 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes rasuah dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terpaksa ditangguhkan ke petang kerana enam saksi pendakwaaan tidak dapat hadir ke mahkamah hari ini.


Menurut laporan Malaysia Kini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menangguhkan perbicaraan ke 2.30 petang bagi membolehkan pihak pendakwaan mencari saksi yang boleh hadir untuk memberikan keterangan bagi perbicaraan kes penyelewengan 1MDB itu.


Ianya selepas Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram memaklumkan saksi pendakwaan ke-12, bekas ketua pegawai kewangan (CF) 1MDB Azmi Tahir tidak dapat hadir hari ini kerana mengalami demam.


Hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah, semasa perbicaraan pagi tadi meminta pihak pendakwaan memanggil saksi lain untuk hadir memberi keterangan, namun Akram memaklumkan bahawa lima saksi lain tidak dapat hadri atas pelbagai alasan.


Lima lagi saksi yang sepatutnya hadir untuk memberikan keterangan hari ini ialah pegawai syarikat audit KPMG Datuk Johan Idris; pegawai khas Najib Datuk Wan Ahmad Shihab Wan Ismail; bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1MDB Tan Sri Ismee Ismail; bekas pegawai syarikat 1MDB Lim Poh Seng serta bekas pengarah setiausaha dan pematuhan TRX City Sdn Bhd Goh Gaik Kim.


“Saya memanggil lima saksi. Tetapi Johan Idris berada di London dan hanya boleh hadir pada 29 Jan; Ahmad Shihab tidak dapat ditemui kerana mengalami cirit-birit sejak tiga hari lalu.


“Ismee pula tiada kerana dia baru pulang selepas mengerjakan umrah dan dia kini dikuarantin, Lim Poh Seng menjalani suntikan dos penggalaknya hari ini dan Goh Gaik Kim juga tidak ada kerana dia perlu menghadiri dua mesyuarat syarikat hari ini, saya menyuruhnya membatalkannya tetapi dia berkata ia penting,” kata Akram.


Hakim kemudiannya memaklumkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk mencari sekurang-kurangnya seorang saksi daripada 50 saksi pendakwaan supaya hadir pada prosiding petang ini.


Najib kini sedang dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.28 bilion dana 1MDB.

Commentaires


bottom of page