Sarawak dipilih sebagai tuan rumah Sukma 2024
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Sarawak dipilih sebagai tuan rumah Sukma 2024


16 Mac 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PUTRAJAYA: Sarawak secara rasmi telah dipilih sebagai tuan rumah temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2024, kata Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.


Keputusan pemilihan Sarawak telah dibuat pada Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma yang dipengerusikan oleh Hannah Yeoh.


Ini akan menjadi kali ketiga Sarawak menjadi tuan rumah Sukma selepas edisi 1990 dan 2016.


Menurut Hannah, pemilihan Sarawak sebagai tuan rumah Sukma 2024 adalah berdasarkan persetujuan ahli untuk memperkenalkan sistem penggiliran tuan rumah secara berselang-seli setiap dua tahun antara Majlis Sukan Negara (MSN) dan negeri-negeri.


Hannah turut menjelaskan bahawa Sukma 2026 akan dianjurkan oleh MSN manakala Kelantan bersetuju untuk menerima tanggungjawab selaku tuan rumah edisi 2028 untuk memberikan mereka tempoh persiapan yang lebih panjang.


"Rasional sistem penggiliran tuan rumah bertujuan untuk mengurangkan beban kerajaan Persekutuan bagi memberikan bantuan kewangan kepada negeri-negeri yang meliputi peruntukan pembinaan dan naik taraf infrastruktur sukan, kos penganjuran dan pembiayaan program persediaan atlet-atlet di peringkat negeri," katanya dalam satu sidang media hari ini.


Selain itu, Hannah juga mengumumkan bahawa jawatankuasa tertinggi Sukma meluluskan cadangan supaya 28 jenis sukan wajib dipertandingkan bermula daripada edisi 2024.


Antara senarai 28 sukan wajib itu ialah akuatik (renang dan terjun), angkat berat, badminton, berbasikal (trek dan lebuh raya), gimnastik (artistik dan gimrama), golf, lawan pedang, memanah, menembak, olahraga, pelayaran dan hoki.


Melengkapi senarai tersebut ialah judo, ping pong, taekwondo, karate, boling padang, pencak silat, sepak takraw, skuasy, tenpin bowling, wushu, bola sepak, ragbi, bola jaring, bola keranjang, bola tampar dan tenis.


Selaku tuan rumah Sukma 2024, Sarawak juga diberi pilihan untuk memasukkan beberapa sukan tambahan dan telah memutuskan untuk menyenaraikan empat jenis sukan iaitu tinju, muay thai, petanque dan sukan elektronik, namun ia tertakluk kepada jumlah minimum penyertaan enam negeri seperti terkandung dalam Peraturan Am Sukan Malaysia.


bottom of page