Sarawak fail petisyen cabar Akta Petroleum Persekutuan
- nabalunews
- Feb 23
- 2 min read

23 Februari 2026
KUCHING: Kerajaan Sarawak hari ini memfailkan satu petisyen di Mahkamah Persekutuan bagi mencabar kesahihan dan keberterusan pemakaian tiga undang-undang persekutuan berkaitan petroleum yang didakwa menjejaskan hak negeri ini terhadap sumber minyak dan gas luar pesisir.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, undang-undang dipersoalkan ialah Akta Pembangunan Petroleum 1974, Akta Pelantar Benua 1966 dan Akta Perlombongan Petroleum 1966.
“Akta-akta ini menjejaskan hak Sarawak terhadap sumber petroleum yang terdapat di dasar laut dalam sempadan negeri seperti ditakrifkan menerusi Sarawak (Alteration of Boundaries) Order in Council 1954 dan Sarawak (Definition of Boundaries) Order in Council 1958.
“Berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta instrumen perlembagaan yang berkaitan, hak kedaulatan ke atas sumber petroleum dalam sempadan Sarawak telah diserahkan kepada negeri ini pada Hari Malaysia oleh Kerajaan British, dan bukannya kepada Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurut Sharifah Hasidah, Perkara 2(c) Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa perundangan kepada Dewan Undangan Negeri untuk mengawal selia pelaksanaan hak petroleum melalui pengeluaran pajakan perlombongan, sijil serta lesen carigali.
Tambahnya, Akta Pelantar Benua 1966 dan Akta Perlombongan Petroleum 1966 pada asalnya hanya terpakai kepada Negeri-Negeri Tanah Melayu sebelum diperluaskan ke Sarawak melalui ordinan yang diluluskan selepas Proklamasi Darurat 1969.
“Bagaimanapun, Darurat itu telah dibatalkan oleh kedua-dua Dewan Parlimen pada Disember 2011, justeru, kedua-dua undang-undang itu tidak lagi sepatutnya terpakai kepada Sarawak sejak Jun 2012 berdasarkan Perkara 150(7) Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.
Langkah undang-undang ini juga dibuat susulan tindakan Petronas pada 10 Januari lepas yang memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran mencabar beberapa undang-undang negeri berkaitan operasi petroleum di Sarawak.
Permohonan itu dijadualkan untuk pendengaran di Mahkamah Persekutuan pada 16 Mac depan.
Sharifah Hasidah berkata, Kerajaan Sarawak akan membantah permohonan berkenaan kerana ia didakwa tidak termasuk dalam bidang kuasa asal eksklusif Mahkamah Persekutuan di bawah Perkara 128(1)(a) Perlembagaan Persekutuan
“Dalam petisyen yang difailkan hari ini, Kerajaan Sarawak turut memohon Mahkamah Persekutuan membuat penentuan di bawah Perkara 4 (3) dan 128 (1) Perlembagaan Persekutuan berhubung setakat mana pemakaian akta-akta persekutuan terbabit terhadap Sarawak.
“Penentuan isu perlembagaan berkenaan dijangka memberikan kejelasan terhadap rangka kerja kawal selia industri minyak dan gas di Sarawak khususnya kepada pelabur dalam sektor huluan dan hiliran,” katanya.
Dalam pada itu, Kerajaan Sarawak menegaskan komitmen untuk meneruskan perbincangan secara konstruktif dengan Kerajaan Persekutuan bagi mencapai penyelesaian yang memperkukuh perpaduan nasional dan menggalakkan penggunaan sumber minyak dan gas secara mampan.















Comments