top of page
Wartawan Nabalu News

Saringan COVID-19 disarankan untuk sektor pendidikan – KKM


5 April 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menyarankan sektor pendidikan untuk melakukan saringan COVID-19 kepada pelajar, guru dan kakitangan kerana 11 daripada 18 kluster baru yang dilaporkan minggu lepas adalah berkaitan dengan pendidikan.


Enam kluster adalah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan lima lagi adalah di maktab dan Taska.


Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata peningkatan kes dan kluster disebabkan oleh pembukaan semula sesi persekolahan pada pertengahan Mac 2023 dan pergerakan masyarakat sewaktu cuti sekolah.


Beliau menasihatkan sektor pendidikan untuk menjalankan saringan bergejala, ujian RTK-Ag, penilaian risiko penularan dan tindakan pencegahan di institusi masing-masing.


Pegawai kesihatan daerah juga diingatkan untuk menyiasat kes positif yang dilaporkan oleh sekolah atau institusi pendidikan dan menjalankan tindakan pembersihan, disinfeksi dan pengesanan kontak.


Selain itu, beliau menyarankan orang ramai untuk mengamalkan TRIIS [Test (Uji), Report (Lapor), Isolate (Asing), Inform (Maklum), and, Seek (Dapatkan rawatan)] bagi mengawal penularan COVID-19.


Jumlah kemasukan pesakit ke fasiliti kesihatan bagi setiap 100,000 penduduk meningkat 24.1 peratus pada minggu lepas berbanding minggu sebelumnya dengan kumulatif kes baharu sebanyak 5,052,337 kes manakala 5,004,546 bagi kes sembuh.

Comments


bottom of page