top of page

Satu daripada tujuh kapal Malaysia lepasi Selat Hormuz

  • nabalunews
  • 2 hours ago
  • 1 min read

7 April 2026


PUTRAJAYA: Sebuah daripada tujuh kapal komersial milik Malaysia yang sebelum ini terkandas di Selat Hormuz berikutan perkembangan situasi di Asia Barat telah diberikan laluan selamat dan kini sedang menuju ke destinasi terakhirnya.


Perkara itu disahkan Kementerian Luar yang juga dikenali sebagai Wisma Putra dalam kenyataan yang dikeluarkan pagi ini.


Menurut Wisma Putra, hasil positif itu adalah susulan penglibatan diplomatik peringkat tinggi.


“Ia termasuk perbualan telefon yang konstruktif antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian pada 26 Mac lalu serta antara Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dengan sejawatnya dari Iran, Abbas Araghchi pada 24 Mac,” katanya.


Tambah kenyataan itu, Malaysia kekal komited terhadap prinsip kebebasan navigasi, keselamatan dan jaminan laluan maritim, selaras dengan undang-undang antarabangsa.


Malaysia juga menegaskan semula kepentingan dialog yang berterusan dan penglibatan diplomatik dalam menangani cabaran serantau serta mengekalkan keamanan dan kestabilan.


Semalam, kedutaan Iran di Malaysia memaklumkan bahawa kapal pertama Malaysia telah melalui Selat Hormuz.


Menerusi satu hantaran di platform X oleh kedutaan Iran memaparkan gambar yang dikatakan kapal tersebut beserta kapsyen: “Kami sudah tegaskan bahawa Republik Islam Iran tidak lupakan sahabatnya. Kapal Malaysia yang pertama telah melalui Selat Hormuz.”

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page