Satu lagi kluster pendidikan direkod di Sabah
top of page
  • nabalunews

Satu lagi kluster pendidikan direkod di Sabah


20 Januari 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Sabah sekali lagi merekodkan satu kluster Covid-19 melibatkan institusi

pendidikan di daerah Putatan.

Menteri Kerajaan, Tempatan dan Perumahan, Datuk Masidi Manjun berkata kluster yang bernama Kluster Pandan – Pandan tersebut melibatkan seorang guru madrasah berumur 53 tahun yang mengajar di Madrasah Darul Hadis, Kg Pandan Pandan.


“Beliau yang mengalami gejala batuk, demam dan selesma menjalani saringan PCR pada 17 Januari 2022 dan disahkan positif COVID-19.


“Saringan keatas kontak rapat yg terdiri daripada keluarga kes indeks, kakitangan dan pelajar-pelajar madrasah mendapati 15 orang lagi telah dijangkiti menjadikan jumlah keseluruhan yang positif dalam Kluster ini sebanyak 16 orang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Tambah Masidi, ini termasuk 14 kes baharu yang dilaporkan pada hari ini. Semua kes positif telah dikuarantin dan menerima rawatan yang sesuai.


Sementara itu, sebanyak 86 kes baharu daripada empat kluster di Sabah mengakibatkan kes harian melambung tinggi kepada 256 kes hari ini.


“Punca peningkatan kes baharu dalam beberapa hari kebelakangan ini banyak berpunca daripada kemunculan kluster-kluster baharu di beberapa daerah.


“Antara kluster-kluster yang menyumbang 86 kes baharu hari ini adalah daripada Kluster Pandan Pandan Putatan (14), kluster Jalan Pertukangan Sandakan (9), kluster Puri Ranau (9) dan kluster Sungai Trayon Kinabatangan (54),” kata Masidi.


Bagaimanapun, Masidi berkata, jumlah kes positif bagi kanak-kanak bawah umur 12 tahun juga agak tinggi, iaitu 38 orang atau hampir 15 peratus daripada jumlah kes keseluruhan.


Sementara itu 29 orang pesakit baharu yang didaftar hari ini didapati belum menerima vaksin.


“Kedua statistik ini adalah satu gambaran bahawa masih ada dikalangan masyarakat yang cuai dengan mendedahkan anak-anak kecil mereka kepada risiko jangkitan virus Covid-19 sedangkan mereka belum layak divaksin.


“Selain itu, masih ramai orang yang sepatutnya layak menerima vaksin, masih enggan divaksin,” katanya.


Ujarnya, dua lagi kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu satu kes di daerah Beaufort dan satu lagi kes di Lahad Datu.


bottom of page