Saya dalam DAP menjunjung suara Orang Asal rakyat Sabah - Jannie
- Wartawan Nabalu News
- Nov 23, 2021
- 2 min read

23 November 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kapayan Jannie Lasimbang berkata, beliau menyertai politik untuk menyumbang ke arah Sabah yang lebih baik terutamanya memperjuangkan pengiktirafan hak Orang Asal Sabah.
“Jadi saya dalam DAP untuk Orang Asal dan sebagai orang Sabah, bukan untuk diri saya sendiri.
“Walaupun tidak dipilih dalam Ahli Jawatankuasa DAP Negeri Sabah semasa Konvensyen DAP Sabah baru-baru ini, saya tidak akan kehilangan wawasan saya dan akan terus menegakkan perjuangan ini dalam DAP,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Jannie percaya usaha dan sumbangannya kepada DAP sebagai wakil rakyat Orang Asal mendapat pengiktirafan, bukan sahaja dari rakyat tetapi oleh pucuk pimpinan parti.
“Saya masih lagi menjadi wakil Jawatankuasa Perundingan Anak Negeri Sabah di bawah badan tertinggi DAP iaitu Jawatankuasa Eksekutif Pusat, dan ini menunjukkan DAP adalah parti kebangsaan yang mengiktiraf perwakilan Orang Asal.
“Jadi tidak berada dalam Jawatankuasa Negeri tidak bermakna saya tidak dapat menyuarakan kepentingan pengundi saya atau Orang Asal Sabah. Saya akan terus bekerja keras untuk memastikan DAP Sabah inklusif dan memberi peluang sama rata kepada wakil Orang Asal,” katanya.
Bagaimanapun katanya, kepimpinan DAP perlu mempertimbangkan secara serius mekanisme untuk memastikan keterangkuman dan pemimpin yang boleh menyumbang secara berkesan kepada parti tidak diketepikan.
“Saya menyarankan agar meneliti pembuatan keputusan melalui proses membina konsensus, termasuk dalam pemilihan pemimpinnya. Pembinaan permuafakatan dan permuafakatan membuat keputusan adalah cara Orang Asal dan sangat berjaya dalam mengekalkan keharmonian dalam sesebuah organisasi.
“Satu contoh yang baik ialah bagaimana Wanita DAP Sabah berjaya membina keterangkuman dan konsensus dalam memilih barisannya untuk 2021 – 2023. Dalam proses itu, ahli-ahli wanita DAP mengenal pasti pemimpin wanita yang bekerja keras dan menyumbang kepada parti sejak beberapa tahun lalu, dan juga memasukkan semua ketua bahagian dan perwakilan etnik dan geografi dalam barisan AJK sekarang,” katanya.
Jannie berkata, dalam lima tahun menjadi Ketua Wanita DAP Sabah, beliau berjaya membina gerakan wanita yang kuat dan harmoni yang juga mempunyai pemimpin Orang Asal yang kuat.
“Saya amat sedih mengetahui tentang kekecewaan pemimpin veteran DAP Sabah, Datuk Jimmy Wong dan dengan itu keluar sebagai ahli DAP. Dia yang membawa saya ke dalam DAP bersama Lim Kit Siang.
“Saya berempati dengannya dan menghormati keputusannya, tetapi bagi saya, saya masih percaya kepada DAP dan akan meneruskan perjuangan saya dalam parti ini.
“Saya menyeru semua ahli DAP untuk terus kuat dalam perjuangan kita, dan khususnya menyeru ahli Orang Asal bekerjasama dengan saya bagi merealisasikan aspirasi kita bersama supaya ada lebih ramai wakil rakyat DUN dan parlimen DAP dalam pilihan raya akan datang sebagai satu cara untuk mengukuhkan Orang Asal dan menyatukan rakyat Sabah secara keseluruhan,” katanya.


















Comments