top of page

Sebahagian besar tuntutan pendidikan, kesihatan MA63 dipersetujui – Fadillah

  • nabalunews
  • Aug 20, 2025
  • 2 min read

20 Ogos 2025


PUTRAJAYA: Sebahagian besar tuntutan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) melibatkan isu pendidikan dan kesihatan telah dipersetujui antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Negeri Sarawak.


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata perkara itu dicapai pada Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) kali kedua bagi tahun ini.


Menurutnya, dalam isu pendidikan, antara yang dipersetujui ialah penglibatan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak dalam perancangan projek pembangunan pendidikan.


“Selain itu, perkongsian maklumat mengenai perpindahan pegawai kanan serta penyaluran peruntukan bagi program pembangunan profesional turut dipersetujui.


“Perkara yang masih belum dipersetujui akan terus dibincangkan dalam Jawatankuasa Tindakan Bersama Pembangunan Pendidikan Negeri Sabah dan Sarawak di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat itu, kelmarin.


Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, bagi isu kesihatan pula, sebahagian besar tuntutan kedua-dua negeri juga telah dipersetujui antaranya peningkatan peruntukan belanja mengurus dan pembangunan.


Selain itu, pemberian kuasa autonomi tambahan kepada Pengarah Kesihatan Negeri serta pengukuhan sumber manusia di Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dan Sarawak.


Menurutnya, baki tuntutan yang belum dipersetujui akan terus dibincangkan dalam Jawatankuasa Tindakan Bersama Pembangunan Kesihatan Negeri Sabah dan Sarawak di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia.


“Kerajaan Persekutuan akan terus memantau semua tuntutan lain yang masih berjalan melalui Jawatankuasa Teknikal MTPMA63 serta jawatankuasa kerja kementerian berkaitan.


“Komitmen kita ialah memastikan hak Sabah dan Sarawak dihormati dan dilaksanakan selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963,” ujarnya.


Dalam perkembangan berkaitan, Fadillah pada Isnin memberitahu Dewan Rakyat sebanyak 16 daripada 29 tuntutan di bawah MA63 masih dalam peringkat penelitian oleh Jawatankuasa Teknikal MTPMA63.


Tuntutan itu melibatkan isu berkaitan pendidikan, kesihatan, royalti minyak, pembayaran tunai petroleum, mineral minyak dan medan minyak, Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750) serta hak negeri ke atas pelantar benua.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page