SEGERAKAN BANTUAN COVID-19, JANGAN TUNGGU KELULUSAN KL: JUNZ
15 JAN 2021
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri yang diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) digesa supaya mengagih-agihkan bantuan Covid-19 serta-merta tanpa menunggu kelulusan atau ‘lampu hijau’ daripada Kuala Lumpur.
Naib Presiden Warisan Datuk Junz Wong berkata, rakyat Sabah semakin hari semakin sengsara ditambah pula dengan perintah kawalan pergerakan (PKP) kedua dan kini darurat diisytihar.
"Tetapi bantuan masih tidak ada, pelan pemulihan ekonomi masih tidak nampak. GRS tidak patut tunggu 'lampu hijau' dari KL. GRS sepatutnya mengambil keputusan sendiri,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.
Junz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Aru mula mengagih bantuan makanan pada Khamis lalu.
"Pejabat DUN saya telah mula mengagih bantuan sejak Khamis. Warisan kini pembangkang. Peruntukan kami dipotong tetapi kami terus membantu seramai mungkin.
"GRS yang sudah berkuasa sepatutnya mengambil iktibar dan mula mengagih-agihkan bantuan, supaya rakyat yang diperintah berkurung mempunyai bekalan makanan mencukupi.
"Pekerja sambilan, golongan miskin, penjaja dan sebagainya paling terjejas dengan PKP dan darurat,” katanya.
Junz mendakwa, GRS tidak berani memberi maklumat terperinci berkenaan bakul makanan yang dijanjikan.
"Bulan lalu di Dewan Undang Negeri Sabah, saya bertanya berapakah jumlah bakul makanan yang telah dihantar ke Tanjung Aru. Menteri yang bertanggungjawab tidak berani jawab. Tiada jawapan lisan, tiada jawapan bertulis.
"Kenapa perlu sembunyikan fakta? Adakah GRS malu nak umum kerana jumlah penerima terlalu sikit? Kenapa GRS tidak umum berapakah jumlah penerima, di mana mereka dan sebagainya?,” katanya.
Junz bekata, antara bulan Mac hingga Ogos 2020, ketika Warisan dalam kerajaan, Warisan berjaya menghantar 11,100 pek makanan untuk Tanjung Aru.
"Kami pergi pintu ke pintu, kami tidak pilih kasih atau syaratkan e-kasih sahaja yang diberikan bantuan.
"Kemudian pada Oktober hingga Disember 2020, walaupun menjadi pembangkang, Warisan terus menghantar 4,000 pek makanan untuk kawasan Tanjung Aru,” katanya.
Comentarios