Sekarang bukan masa kenakan caj ATM RM1 – PHSekarang bukan masa kenakan caj ATM RM1 – PH
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Sekarang bukan masa kenakan caj ATM RM1 – PH


16 Disember 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) beranggapan bahawa pelaksanaan semula caj RM1 bagi transaksi antara bank di mesin juruwang automatik (ATM) merupakan satu langkah yang tidak disenangi rakyat.


Ia susulan notis yang dikeluarkan oleh beberapa buah bank tempatan seperti Maybank, Bank Islam Malaysia Bhd, CIMB Bank Bhd dan RHB Bank Bhd mengenai perkara tersebut yang akan bermula pada 1 Februari tahun depan menerusi platform media sosial masing-masing pada Rabu.


Ketua Setiausaha PH, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata beliau menerima pelbagai mesej malah turut membaca komentar netizen yang rata-rata tidak bersetuju dengan langkah ini.


“Dari segi teknikalnya, seluruh negara tahu bahawa sektor perbankan antara sektor yang melaporkan keuntungan sihat meskipun pandemik dan siri Perintah Kawalan Pergerakan dilaksana.


“Sebagai contoh, Maybank melaporkan keuntungan bersih bagi suku kedua 2021 berjumlah RM1.96 bilion, iaitu hampir RM1 bilion lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya. CIMB pula menyaksikan peningkatan RM1.835 bilion keuntungan bersih ke RM2.62 bilion (2Q2021) berbanding RM785 juta (2Q2020).


“Ini bermaksud kebanyakan jika bukan kesemua bank komersial menyaksikan keuntungan sihat tahun ini,” katanya menerusi satu kenyataan media, semalam.


Menurut Ahli Parlimen Kulim itu, bank-bank sering kali meletakkan pelbagai caj ke atas hampir semua transaksi yang lain.


“Saya juga berpandangan terdapat cara-cara bagi memastikan pihak bank masih dapat menampung kos dalam hal transaksi ATM yang dimaksudkan ini, yang juga sudah pasti dalam pengetahuan Menteri Kewangan yang dahulunya juga seorang pegawai atasan bank komersial.


“Situasi bagi rakyat pula jauh berbeza. Pada 3 November lalu, Kerajaan mengumumkan 600,000 isi rumah daripada kumpulan berpendapatan sederhana (M40) telah jatuh ke dalam kumpulan berpendapatan rendah (B40) akibat pandemik COVID-19.


“Setakat Oktober 2021, dianggarkan 13.9 peratus anak muda antara 15-24 tahun menganggur, manakala secara amnya terdapat 705,000 orang yang sedang menganggur.


“Dikira bersama peningkatan harga barang yang mendadak dan belum lagi dapat dikawal, jelas rakyat sekarang berada dalam keadaan sangat tertekan,” ujarnya.


Saifuddin menggesa Kerajaan dan khususnya Menteri Kewangan Datuk Tengku Zafrul Aziz untuk segera masuk campur dan mengarahkan bank-bank membatalkan rancangan kenaan bayaran RM1 bagi transaksi ATM ini.


“Bila kita mendengar perbahasan Ahli-Ahli Parlimen terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman yang tidak ada banyak ATM, maka kenaan bayaran RM1 inilah yang sudah pasti paling menekan para pengundi mereka.


“Saya dan pimpinan KEADILAN akan terus meneliti perkembangan isu ini, dan kami bersedia mengadakan pertemuan dengan pihak Kerajaan mahupun wakil bank-bank berkenaan demi menyampaikan suara rakyat,” kata Saifuddin yang juga Setiausaha Agung KEADILAN.

bottom of page