SEKATAN TERHADAP FGV TIDAK JEJAS EKSPORT PRODUK SAWIT KE AS
5 NOV 2020
KUALA LUMPUR: Eksport produk sawit Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) secara amnya tidak menghadapi sebarang masalah kecuali sekatan dagangan ke atas produk sawit negara keluaran Felda Global Ventures (FGV) yang bermula pada 1 Oktober 2020.
Sehubungan itu, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata sekatan berkenaan tidak memberi kesan signifikan terhadap sektor tersebut.
“FGV hanya mengeksport 40 tan minyak sawit ke AS. Selain itu, eksport minyak sawit Malaysia ke AS bagi tempoh Mei hingga September 2020 adalah sebanyak 292,940 tan dan 292,011 tan bagi tempoh sama pada 2019,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) mengenai kesan tindakan AS itu terhadap import produk sawit Malaysia bagi tahun ini.
Selain itu, menyentuh dakwaan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS bahawa FGV menggunakan tenaga tenaga buruh paksa, Mohd Khairuddin berkata pihak FGV telah mengeluarkan kenyataan media bagi menjawab dakwaan tersebut.
“Untuk makluman, pihak CBP telah mengeluarkan Withhold Release Order atau WRO (Perintah Sekatan Pelepasan) terhadap import minyak sawit dan produk FGV pada 30 September 2020.
“Sekatan dikeluarkan berdasarkan petisyen dikemukakan oleh beberapa badan bukan kerajaan (NGO) kepada pihak CBP berkaitan penggunaan buruh paksa dalam proses keluaran produk sawit FGV. Namun, kesahihan dakwaan tersebut masih belum dapat disahkan,” katanya.
Sambil menyifatkan buruh paksa itu bukan isu baharu, Mohd Khairuddin menegaskan undang-undang Malaysia jelas tidak membenarkan sebarang bentuk penyeksaan, penindasan, keganasan fizikal dan seksual terhadap mana-mana pekerja di semua sektor di negara ini.
Menurutnya, tindakan majikan menyimpan pengenalan diri seperti pasport atas dasar keselamatan setelah mendapat persetujuan pihak pekerja, sebaliknya disenaraikan antara elemen buruh paksa oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa.
Antara penyelesaian itu adalah sebahagian besar syarikat perladangan sawit menyediakan ruang khas penyimpanan pasport yang boleh diambil pekerja pada bila-bila masa.
“Kerajaan amat menitikberatkan prinsip keadilan dan sosial pekerja dengan penguatkuasaan undang-undang perburuhan dan juga akta yang menjaga kebajikan pekerja.
“Isu-isu teknikal (seperti tindakan majikan menyimpan pasport, pekerja membawa bersama anak ke ladang kerana tiada penjaga di rumah) perlu diperjelaskan kepada pihak syarikat.
“Kementerian juga melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia akan terus giat mengadakan program- program advokasi untuk menjelaskan perkara sebegini kepada pihak industri," katanya. - Bernama
Comentários