top of page

Sekolah diminta tangguh aktiviti luar jika suhu lebih 35 darjah

  • nabalunews
  • Mar 25
  • 1 min read

25 Mac 2026


PUTRAJAYA: Semua institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan (KPM) diminta menangguhkan aktiviti luar sekiranya suhu melebihi 35 darjah Celsius.


Ia merupakan sebahagian daripada langkah yang digariskan KPM, bertujuan mengelakkan kejadian tidak diingini ketika negara dilanda musim panas ketika ini.


Menerusi kenyataan hari ini, KPM turut meminta pihak pengurusan sekolah meningkatkan persediaan dan melaksanakan langkah sewajarnya bagi menghadapi cuaca panas apabila sekolah kembali dibuka pada Ahad dan Isnin ini.


“Institusi pendidikan perlu memantau aktiviti berpotensi mendedahkan murid kepada cuaca panas bagi memastikan kesihatan mereka tidak terjejas.


“Selain itu, institusi pendidikan juga perlu memastikan bekalan air minuman bersih mencukupi serta menggalakkan murid mengambil air minuman dalam kuantiti yang sesuai bagi mengawal suhu badan," menurut kenyataan itu.


Pada masa sama, KPM turut meminta pihak sekolah membekalkan air minuman kepada murid asrama sekiranya keadaan kritikal dan tiada sumber lain bagi mendapatkan air minuman.


Pihak pengurusan sekolah juga diminta sentiasa bekerjasama dengan klinik dan hospital berdekatan bagi memudahkan tindakan susulan sekiranya berlaku sebarang komplikasi terhadap murid akibat cuaca panas.


"Semua institusi pendidikan bawah KPM perlu peka situasi semasa fenomena cuaca panas di kawasan masing-masing dan mengikuti garis panduan yang telah ditetapkan.


"Pertimbangan kebenaran khas kepada murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana untuk memakai pakaian sukan yang sopan semasa cuaca panas perlu diberi berdasarkan kepada keperluan dan situasi semasa di institusi masing-masing,” tambah kenyataan itu.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page