Sekolah Sesi Petang Tamat Lebih Awal Sepanjang Ramadan – KPM
- nabalunews
- Feb 18
- 1 min read

18 Februari 2025
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menetapkan waktu tamat persekolahan bagi sesi petang sepanjang bulan Ramadan akan lebih awal, iaitu pada pukul 5.30 petang di Semenanjung Malaysia dan 5.00 petang di Sabah, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan berkata, sesi pagi akan berjalan seperti biasa tanpa sebarang perubahan jadual.
“Sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan akan terus beroperasi seperti tahun-tahun sebelumnya sepanjang Ramadan, berdasarkan Surat Siaran KPM Bilangan 3 Tahun 2022 yang masih berkuat kuasa,” menurut kenyataan itu.
“KPM turut menegaskan bahawa pihaknya memandang serius penyebaran maklumat tidak tepat berhubung pengoperasian sekolah dalam bulan Ramadan yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab di media sosial.
“Penyesuaian jadual sesi petang dibuat bagi memastikan murid serta guru beragama Islam dapat menjalani ibadah puasa dengan lebih selesa,” katanya.
Sehubungan itu, KPM menasihatkan orang ramai agar merujuk hanya kepada maklumat rasmi kementerian dan tidak terpengaruh dengan hantaran media sosial yang berunsur spekulasi serta boleh mengelirukan masyarakat.
Comments