top of page

Semakan kelayakan Penghargaan SARA dibuka hari ini

  • nabalunews
  • 2 hours ago
  • 2 min read

ree

21 Ogos 2025


PUTRAJAYA: Sebanyak 22 juta pemegang MyKad warganegara Malaysia boleh menyemak kelayakan Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) menerusi portal rasmi SARA di https://sara.gov.my bermula hari ini.


Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, setiap pemegang MyKad warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas yang lahir pada dan sebelum 2007 dan akan menerima bantuan berkenaan, termasuk penerima SARA sedia ada.


"Tiada pendaftaran atau permohonan perlu dibuat memandangkan kelayakan untuk Penghargaan SARA adalah secara automatik berdasarkan data pemegang MyKad Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).


"Oleh yang demikian, orang ramai dinasihatkan agar tidak terpedaya dengan sebarang tipu helah atau ‘scammer’, memandangkan bantuan Penghargaan SARA akan disalurkan secara terus ke dalam MyKad penerima,” menurut kenyataan itu.


MOF memaklumkan bantuan Penghargaan SARA sebanyak RM100 ini akan disalurkan ke dalam MyKad penerima mulai 31 Ogos 2025 sempena Hari Kebangsaan, dan ia boleh dimanfaatkan hingga 31 Disember 2025.


Menurutnya, bantuan boleh digunakan di lebih 7,300 premis runcit berdaftar dan akan bertambah dari semasa ke semasa dengan penerima boleh membeli lebih 100,000 barangan keperluan dalam 14 kategori termasuk makanan asas, kebersihan rumah dan diri, ubat-ubatan serta keperluan sekolah.


Jelas MOF, bagi memastikan limpahan negara ini dapat dimanfaatkan sebaiknya secara saksama, baki Penghargaan SARA yang tidak dibelanjakan di hujung tahun akan diagihkan semula kepada golongan rentan melalui program Kerajaan Madani yang akan diputuskan kelak.


"Penerima juga boleh memilih untuk menggunakan bantuan ini dengan membeli barangan keperluan asas dan menyumbang semula kepada mereka yang memerlukan,sebagai contoh pembelian barangan asas sebagai derma kepada badan bukan kerajaan (NGO), tempat ibadat dan sebagainya,” tambah kenyataan itu.


Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Penghargaan SARA merupakan usaha ikhlas Kerajaan Madani, yang julung kalinya memanjangkan bantuan tunai kepada seluruh warganegara dewasa, untuk mengagihkan hasil reformasi kewangan awam kepada rakyat.


Dengan pelaksanaan Penghargaan SARA, jumlah keseluruhan peruntukan bagi program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA meningkat kepada RM15 bilion bagi tahun 2025, iaitu peningkatan sebanyak 50 peratus berbanding RM10 bilion pada 2024.


Untuk semakan, soalan lazim (FAQ) dan maklumat lanjut seperti senarai kedai mengikut bandar dan panduan membeli barangan SARA penerima boleh merujuk portal rasmi di https://sara.gov.my.

 
 
 

Comentários


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page