Sempadan Negara Semakin Selamat, Skor Keselamatan Capai 0.95
- nabalunews
- 2 days ago
- 1 min read

20 Julai 2025
KOTA KINABALU: Keselamatan sempadan negara dikategorikan sebagai sangat selamat apabila mencapai skor 0.95 menurut laporan Indeks Keselamatan Sempadan Negara (IKSN) 2024.
Ia berdasarkan skala lima tahap penarafan, bermula 0.0 hingga 1.0 (sangat selamat); 1.1 hingga 2.0 (selamat); 2.1 hingga 3.0 (sederhana selamat); 3.1 hingga 4.0 (kurang selamat); dan 4.1 hingga 5.0 (tidak selamat).
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam satu kenyataan berkata, pencapaian itu mencerminkan keberkesanan pelbagai usaha berterusan agensi keselamatan dalam sempadan negara.
“Antara isu yang paling berjaya dikawal termasuk rompakan laut dan penculikan yang mencatatkan skor sifar (0.00), penyeludupan senjata api (0.22), dan jenayah siber (0.47),” menurut kenyataan itu.
Katanya, sebagai peneraju inisiatif keselamatan sempadan, KDN akan terus memperkukuh dasar serta operasi keselamatan berasaskann data dan pemantauan strategik, seiring tekad Kerajaan MADANI untuk menjadikan keselamatan rakyat sebagai keutamaan.
“Keamanan negara bermula di sempadan. Justeru, langkah-langkah keselamatan akan terus dimantapkan bagi memastikan Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang selamat dan berdaya tahan,” tambah kenyataan itu.
KDN baru-baru ini melancarkan Indeks Keselamatan Sempadan Negara sebagai langkah memperkukuh kawalan sempadan negara secara lebih sistematik dan berasaskan data.
Indeks yang dibangunkan Institut Keselamatan Awam Malaysia (IPSOM) dengan kerjasama strategik Universiti Teknologi Mara (UiTM) menjadi alat penting bagi mengukur prestasi, keberkesanan dan kesiapsiagaan agensi penguatkuasaan sempadan berasaskan data.
Ia menilai 12 jenayah rentas sempadan yang dikenal pasti, termasuk pendatang asing tanpa izin (PATI), pemerdagangan manusia, penyeludupan narkotik, penyeludupan barangan, serta ancaman keselamatan transnasional lain.
Comentarios