Semua agensi kerajaan digerak, bantuan banjir di Sabah disalur segera – Zahid
- nabalunews
- 4 days ago
- 1 min read

21 Februari 2026
KUALA LUMPUR: Semua agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri telah digerakkan secara menyeluruh bagi memastikan operasi pemindahan, penyelamatan serta penyaluran bantuan untuk mangsa banjir di Sabah dilaksanakan dengan pantas, tersusun dan berkesan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, keutamaan kerajaan adalah keselamatan rakyat, kebajikan mangsa serta pemulihan kawasan terjejas secepat mungkin.
“Saya mengingatkan semua yang berada di kawasan terlibat agar sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid menyeru rakyat agar terus mendoakan kesejahteraan penduduk di Sabah yang kini berdepan ujian banjir yang menjejaskan kediaman, keselamatan dan kehidupan harian mereka ketika umat Islam menyambut Ramadan.
Jumlah mangsa banjir di Sabah meningkat kepada 3,768 orang setakat 12 tengah hari ini berbanding 3,685 orang pada 8 pagi tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan, kesemua mangsa daripada 1,474 keluarga ditempatkan di 18 PPS yang beroperasi di tiga daerah terjejas iaitu Kota Marudu, Pitas dan Paitan.
Bencana banjir di ketiga-tiga daerah telah menjejaskan 47 kampung dengan 30 di Pitas, 12 di Kota Marudu serta lima di Paitan.















Comments