Semua Kursus Pengajian UMS Mendapat Akreditasi MQA
- nabalunews
- Sep 30
- 1 min read

30 September 2025
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menegaskan semua kursus pengajian yang ditawarkan di universiti awam itu telah mendapat akreditasi penuh daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Kasim Mansor berkata, semua program yang dijalankan telah melalui proses penilaian dan akreditasi ketat sebagaimana ditetapkan oleh MQA.
“Penilaian merangkumi pelbagai aspek termasuk kebolehpasaran graduan, kajian pasaran, kelayakan pensyarah serta kesesuaian kurikulum,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau menafikan sepenuhnya dakwaan segelintir pihak yang kononnya wujud ‘kursus lelong’ di institusi pengajian tinggi (IPT).
“Di UMS, isu tersebut tidak pernah timbul kerana semua program pengajian sentiasa melalui semakan berkala bagi memastikan kandungannya relevan dengan perkembangan industri semasa,” jelas beliau.
Menurutnya, usaha itu bukan sahaja memastikan graduan UMS memenuhi kehendak pasaran kerja domestik, malah berupaya bersaing di peringkat antarabangsa.
Beliau turut mendedahkan dapatan kajian kadar purata Kebolehpasaran Graduan (Graduate Employability, GE) UMS bagi tempoh lima tahun kebelakangan ini mencatatkan 95.46 peratus, dengan rekod tertinggi pada 2023 iaitu 98.5 peratus.
“Fakta ini menjadi bukti jelas bahawa graduan UMS diterima baik oleh pasaran pekerjaan,” katanya.
Seiring dengan kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi serta penegasan MQA, UMS komited untuk terus menyediakan program berkualiti tinggi, melahirkan graduan kompetitif dan berdaya saing, serta menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.


















Comments