top of page

Semua pihak diingatkan berwaspada jangan sentuh isu 3R – Fahmi

  • Wartawan Nabalu News
  • Aug 5, 2023
  • 1 min read

5 Ogos 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Semua pihak diingatkan supaya berwaspada tidak menggunakan atau mempermainkan isu kaum, agama dan institusi raja (3R) sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) terutamanya dalam media sosial, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.


Beliau berkata tindakan itu boleh mengancam perpaduan negara yang dibina sejak kemerdekaan dan penubuhan Malaysia.


"Saya ingin memperingatkan, dalam semangat hari-hari lebih kurang seminggu sebelum hari mengundi pada 12 Ogos nanti, tolong hati-hati, jangan bermain isu 3R terutama dalam media sosial," katanya.


Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pelepasan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang Peringkat Wilayah Persekutuan dan Putrajaya di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu, Kuala Lumpur, semalam.


Jelas beliau, "Jangan sebab kita hendak menang PRN, maka kita gadaikan perpaduan yang telah lama kita pupuk sejak tahun awal kemerdekaan dan penubuhan Malaysia."


Tarikh pengundian PRN akan diadakan pada 12 Ogos untuk enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu. Pengundian awal pula pada 8 Ogos.


Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata media sosial seperti TikTok masih belum mempunyai sistem 'social media listening tool' yang boleh mengesan dan mengawal kandungan berunsur 3R.


Oleh itu, beliau berkata pemantauan kandungan di media sosial ketika ini lebih bersifat manual.




Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page