top of page

Sesi persekolahan baharu akan kembali ke Januari pada 2026

  • Wartawan Nabalu News
  • May 24, 2023
  • 1 min read

ree

24 Mei 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Selepas dua tahun bermula pada Mac akibat pandemik Covid-19, sesi persekolahan baharu akan kembali ke bulan Januari pada 2026, menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.


Beliau berkata, kerajaan telah memulakan usaha untuk awalkan kalendar akademik persekolahan sesi 2024/2025 bermula pada Februari 2025, sebagai langkah untuk mencapai permintaan untuk memulakan sesi persekolahan pada Januari.


“Jadi permintaan untuk memulakan sesi persekolahan pada Januari akan ditunaikan pada 2026,” katanya semasa sesi pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.


Beliau menjawab soalan lisan Aminolhuda Hassan [PH-Seri Gading] mengenai bila sesi persekolahan baharu akan kembali dimulakan pada Januari.


Fadhlina menjelaskan bahawa perubahan semula kalendar akademik persekolahan perlu mengambil kira faktor-faktor seperti ekonomi setempat, banjir pada hujung tahun, dan jadual peperiksaan SPM, STPM dan STAM.


“Kementerian turut melihat kepada keperluan dan kesesuaian penyediaan kalendar akademik untuk tahun seterusnya bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan secara optimum khususnya tempoh pembelajaran sebanyak 32 hingga 36 minggu yang diperlukan bagi menyelesaikan keseluruhan kurikulum persekolahan setahun,” katanya.


Beliau juga berharap bahawa pengumuman ini dapat membantu semua pihak yang terlibat untuk merancang dan bersedia bagi menghadapi perubahan itu, termasuk aspek kewangan dan ekonomi, cuti keluarga, kenduri kendara, dan cuti-cuti cikgu.


“Sesi persekolahan baharu yang dianjakkan kepada Mac sejak tahun lepas menjadi rungutan ramai ibu bapa. Mereka memilih untuk sebaiknya sesi itu kembali kepada asal kerana tempoh pandemik pun sudah habis dan negara pun sekarang sudah berada di dalam sesi endemik,” menurut laporan Sinar Plus.


Pada November 2021, Kementerian Pendidikan mengumumkan sesi persekolahan untuk tahun berkenaan dilanjut sehingga Februari 2022, menyaksikan sesi persekolahan bagi tahun baharu itu bermula pada Mac.


 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page