Sesi persekolahan di Sabah mula dibuka 1 NovSesi persekolahan di Sabah mula dibuka 1 Nov
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Sesi persekolahan di Sabah mula dibuka 1 Nov


17 Okt 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Pengoperasian institusi pendidikan di bawah Fasa 3 di negeri Sabah, Pulau Pinang dan Perak akan bermula pada 1 November.


Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan media hari ini berkata, bagi negeri Kedah dan Kelantan pula pengoperasian institusi pendidikan berdasarkan ketetapan Fasa 3 akan bermula pada 31 Oktober ini.


Sementara itu, negeri-negeri berkenaan akan terus beroperasi berdasarkan ketetapan negeri Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) esok (18 Oktober).


Mengikut ketetapan fasa baharu, apabila sesebuah negeri beralih ke fasa seterusnya pengoperasian institusi pendidikan akan dilaksanakan selepas dua minggu daripada tarikh peralihan ke fasa tersebut.


“Pengoperasian institusi pendidikan bagi Fasa 3 PPN akan melibatkan murid prasekolah, murid berkeperluan khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas, Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas, Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional dan Program Pendidikan Khas Integrasi.


“Selain itu, Tingkatan 6 Semester 2, Prauniversiti Sekolah Sukan Malaysia, kelas peperiksaan awam di sekolah asrama sepenuhnya/sekolah harian/sekolah swasta, International Baccalaureate Diploma, serta kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O-Level, A-Level, Australia Higher School Certificate dan IBD) dan kelas peperiksaan antarabangsa yang lain juga terlibat dalam Fasa 3 PPN,” kata kenyataan itu.


Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Ismail Sabri Yaakob telah mengumukan peralihan fasa PPN bagi Kedah, Pulau Pinang, Perak, Sabah, Melaka, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Wilayah Persekutuan Putrajaya berkuat kuasa 18 Oktober (esok).

bottom of page