top of page

Sewa Kondo Mewah Untuk Sorok 20 Kilogram Dadah

  • nabalunews
  • Jul 11
  • 2 min read

ree

11 Julai 2025


KOTA KINABALU: Polis menyerbu dua kondominium mewah di Jalan Haji Saman dan Jesselton selepas dipercayai disewa untuk dijadikan tempat menyembunyikan dadah dalam operasi 4 Julai lalu.


Dalam serbuan jam 7.45 malam itu, pihak polis berjaya menemui ratusan dadah jenis syabu, ketamin dan pil ekstasi yang dipercayai disasarkan untuk pasaran dalam dan luar negara.


Operasi yang dilaksanakan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu turut berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun yang disyaki dalang utama sindiket berkenaan.

ree

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, sebaik serbuan dilakukan, pihaknya menemui satu beg yang mengandungi plastik lutsinar disyaki berisi syabu seberat 790.56 gram.


Katanya, pasukan operasi turut menemui mesin mengira wang, alat penimbang digital dan peralatan membungkus dadah.


"Esoknya, satu lagi kondominium mewah yang turut disewa suspek turut diserbu dan menemui dua paket plastik berisi dadah disyaki ketamin seberat 14.14 gram.

ree

"Suspek kemudian membawa pasukan operasi ke sebuah kereta Toyota Yaris yang ditinggalkan dalam keadaan berkunci di kawasan letak kereta awam berhampiran Sabah Art Gallery Outdoor Artspace," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Dataran Kawad, hari ini.


Mengulas lanjut, Jauteh berkata pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemui satu beg bagasi dan sebuah kotak yang mengandungi 12.7 kilogram dadah jenis syabu.

ree

"Turut dirampas dadah jenis ketamin seberat 6.9 kilogram, 25 peket jus ekstasi dan 10 biji pil ekstasi. Jumlah rampasan dadah dianggarkan bernilai RM960,000.


“Selain itu, polis turut menyita dua kenderaan mewah jenis Toyota Hilux, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan mencecah RM1.23 juta," katanya.


Jauteh berkata, siasatan awal mendapati sindiket terbabit dipercayai membawa masuk bekalan dadah ke negeri ini menggunakan laluan udara sebelum diseludup keluar ke negara jiran.

ree

"Bekalan dadah yang dirampas ini mampu menampung lebih 100,000 kali kegunaan penagih,” katanya.


Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian pengedaran dadah yang terbabit dalam sindiket berkenaan.


“Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

ree

“Suspek kini ditahan reman bagi siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page