top of page
  • Wartawan Nabalu News

'Sexual grooming' kini satu kesalahan jenayah



24 Nov 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Pengantuanan seksual atau sexual grooming kini adalah satu kesalahan jenayah di bawah Akta Kanak-kanak.


Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff, berkata di bawah akta tersebut, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun dan sebatan.


"Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 telah digubal bertujuan untuk memberi perlindungan yang lebih baik kepada kanak-kanak, melindungi kepentingan dan kebajikan kanak-kanak, serta mengadakan pencegahan yang berkesan bagi kesalahan-kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.


"Kesalahan pengantunan kanak-kanak atau lebih dikenali sebagai child grooming telah pun dimasukkan ke dalam akta ini dengan hukuman penjara maksimum lima tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebat.


"Akta ini di bawah bidang kuasa Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri," katanya ketika menjawab soalan Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya) dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.


Dalam sesi soal jawab tersebut, Maria menyoal Siti Zailah berkenaan kesediaan kerajaan untuk meminda undang-undang sedia ada bagi menjadikan sexual grooming sebagai satu jenayah di Malaysia.


Tambah Siti Zailah, cabaran terbesar dalam menangani isu tersebut adalah penggunaan media sosial.


“Justeru, kita mahukan kerjasam semua pihak termasuk ibu bapa. Berdasarkan satu kajian yang dijalankan pada 2020, didapati hanya 34.4 peratus daripada ibu bapa yang menggunakan aplikasi kawalan dalam melindungi anak-anak mereka dalam internet.


"Ini bermakna masih ramai yang kurang sedar kesan jenayah ini (sexual grooming) dan tugas ini bukan terletak di bahu kementerian saja tetapi tanggungjawab bersama semua pihak dan masyarakat," katanya.

Comments


bottom of page