top of page
  • nabalunews

Siapkan segera Lebuhraya Pan Borneo Sabah - PM

4 Ogos 2024


KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah disiapkan dengan kadar segera dan tidak mahu lagi melihat ia terus tertangguh memandangkan projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak sudah hampir siap.


Perdana Menteri berkata beliau menyerahkan kepada kerajaan negeri Sabah untuk memastikan projek yang memberi manfaat kepada rakyat Sabah itu disiapkan secepat mungkin.


"(Lebuhraya) Pan Borneo Sarawak hampir siap. Sabah terkontang-kanting lagi. Jadi, sudah dipersetujui dengan kerajaan negeri Sabah, kita buat secepat mungkin.


"Saya beritahu (Menteri Kerja Raya) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, saya serahkan (kepada mereka), saya tidak campur. Saya nak cepat (disiapkan) supaya rakyat Sabah melihat ada projek puluhan bilion ringgit ini, lebuh raya terpanjang di Malaysia - Pan Borneo.


"Lebuh raya di Semenanjung ada tol, dibayar oleh pengguna. Lebuh raya di Sabah dan Sarawak, kerajaan beri percuma untuk rakyat guna," kata beliau seperti dilaporkan Berita Harian.


Anwar berkata demikian dalam ucapannya pada Konvensyen Keadilan Sabah di sini hari ini.


Pada 29 Julai lalu, Nanta berkata pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1A kini mencapai tahap 77.41 peratus dan dijangka siap sepenuhnya selewat-lewatnya pada 2026.


Beliau berkata, empat daripada keseluruhan 15 pakej kerja dalam fasa itu telah disiapkan, manakala baki 11 pakej dalam proses pembinaan.


Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan beliau tidak akan menerima sebarang alasan daripada agensi pelaksana berkaitan penangguhan projek pembangunan untuk rakyat.


Beliau berkata, sememangnya sentiasa ada perbincangan membabitkan kerajaan dengan kerajaan mengenai isu sedia ada seperti kemiskinan tegar, air, banjir, elektrik dan infrastruktur.


"Saya tidak mahu sebarang kelewatan. Selepas pengumuman dibuat hari ini, tidak sepatutnya ada sebarang kelewatan seperti isu air di Universiti Malaysia Sabah (UMS).


"Terlalu banyak alasan, saya tidak mahu (dengar mengenai alasan itu). Selesaikannya, ia masalah kamu... jika duit tak cukup, kita akan tambah," katanya.


Tambahnya lagi, ada projek mengambil masa tiga bulan untuk agensi pelaksana mula bermesyuarat, buka tender pada bulan kelima dan lain-lain isu yang menyebabkan kelewatan.


Kelewatan sebegitu, katanya menyebabkan rakyat menderita kerana tidak mendapat akses kepada projek yang memberi manfaat kepada mereka.


"Saya juga tahu mengenai sekolah yang sesak, mereka yang tidak ada peluang untuk berniaga, anak muda yang tidak mempunyai pekerjaan.


"Setiap kali saya tengok media sosial dan berita, saya terbaca tentang anak muda panjat pokok untuk dapat internet, (pelajar) tak dapat ke sekolah kerana jalan berlubang, jambatan gantung dengan papan kecil.


"Kami mewarisi (masalah) ini tetapi kami perlu menyelesaikannya sebaik mungkin," katanya.

Comments


bottom of page