Sidang media Ismail Sabri timbulkan lebih banyak tanda tanya mengenai sokongan sebenar MuhyiddinSidang media Ismail Sabri timbulkan lebih banyak tanda tanya mengenai sokongan sebenar Muhyiddin
top of page
  • Nur Syafiqah Abdullah

Sidang media Ismail Sabri timbulkan lebih banyak tanda tanya mengenai sokongan sebenar Muhyiddin



6 Ogos 2021

Oleh Nur Syafiqah Abdullah


KUALA LUMPUR: Pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai pendirian 31 Ahli Parlimen Barisan Nasional yang menyokong pentadbiran Muhyiddin Yassin menimbulkan tanda tanya terhadap sokongan sebenar Muhyiddin.


Pengumuman itu, menunjukkan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin kini hanya disokong 104 Ahli Parlimen, dengan 11 Ahli Parlimen BN tidak lagi menyokong beliau.


Ini menunjukkan blok Pakatan Harapan (PH) kini memperoleh sokongan 116 Ahli Parlimen.


Berikutan pengumuman itu, beberapa Ahli Parlimen mempersoalkan dakwaan Muhyiddin bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti.


Antaranya ialah Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan yang juga ahli Umno yang telah menarik sokongan terhadap Kerajaan PN.


“Matematik mudah. Disebut 31 sokong TS Mahiaddin (Muhyiddin) daripada 42. Maka 42-31=11 tak sokong (sebenarnya lebih).


“Kerajaan sebelum ini ada 114. Tolak 11 tinggal 103 Ahli Parlimen. Ahli Parlimen ada 222. Meninggal dunia 2 tinggal 220. Majoriti perlu 110+1=111,” jelasnya menerusi ciapan Twitter.


Manakala Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib berkata: “(Seramai) 21 hadir sidang media hari ini. Didakwa pula ada sokongan 31 orang BN sebab 10 orang tak hadir. Tapi hari itu bukan kata ada 40 orang BN yang sokong PN untuk menjadikan sokongan majoriti sebanyak 115?


“Jadi, PM8 masih ada sokongan majoriti ke jika angka 40 itu sudah jatuh ke 21 atau 31? Takkan dah usaha begitu lama dengan kuasa penuh darurat "scheme of things" selama tujuk bulan untuk pujuk/ugut tapi nombor semakin mengecil?”


Ahli Parlimen pembangkang, Hannah Yeoh turut menyindir Ismail atas kesilapan beliau mengira jumlah majoriti.


“Adik-adik mesti rajin belajar Matematik di sekolah. Kalau nak jadi Ahli Politik satu hari nanti, kepakaran mengira majoriti itu penting.


“Jika tidak, orang akan ketawa kalau kita dapat jawatan penting status Menteri tapi tak tahu kira,” ujar Ahli Parlimen Segambut itu.


Terdahulu, Ismail Sabri mengumumkan bahawa seramai 31 Ahli Parlimen BN telah menyatakan pendirian untuk terus menyokong kerajaan PN dalam satu sidang media khas tengah hari tadi.


Seramai 21 orang Ahli Parlimen BN telah hadir dalam persidangan tersebut, 10 orang lagi tidak hadir tetapi menyatakan sokongan mereka.







bottom of page