Silent Teddies boleh jadi contoh perusahaan sosial negara – Ewon
- nabalunews
- 3 hours ago
- 2 min read

21 Ogos 2025
KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, Silent Teddies sebuah perusahaan sosial (SE) yang ditubuhkan untuk memperkasa komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran melalui perniagaan bakeri dan kafe, boleh dijadikan contoh terbaik dalam SE negara.
Beliau berkata, inisiatif Silent Teddies bukan sahaja memberi peluang pekerjaan dan latihan kemahiran kepada golongan istimewa, tetapi turut menjadikan mereka sebahagian daripada aktiviti ekonomi negara.
“Saya berbangga melihat usaha dan inisiatif perusahaan sosial yang memberi tumpuan kepada kumpulan sasar seperti ini dan mencetuskan sense of belonging mereka kepada negara selain menjadi sebahagian daripada aktiviti ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena lawatan ke Pusat Perkhidmatan Komuniti Orang Pekak (Silent Teddies), di sini hari ini.
Ewon berkata, Silent Teddies yang menerima penarafan Perusahaan Sosial (SE) daripada KUSKOP kini mempunyai 15 usahawan muda OKU Pendengaran di bawah program Teenager Entrepreneurial Development (TED).
“Silent Teddies yang memiliki sijil Halal, mengeluarkan pelbagai produk bakeri termasuk biskut dan tart nenas,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini, lebih 100 orang daripada golongan OKU serta B40 mendapat latihan kemahiran di pusat itu.
Katanya lagi, pembangunan perusahaan sosial akan terus menjadi fokus kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
“KUSKOP komited menyediakan insentif, akses pasaran, program latihan dan kerjasama strategik antara kerajaan serta sektor swasta,” katanya.

Beliau turut memaklumkan Forum Perniagaan Inklusif ASEAN ke-8 (ASEAN IB Forum 2025) akan diadakan pada 11 hingga 12 September ini di Sunway Resort Hotel, manakala ASEAN Inclusive Business and Social Enterprise Showcase 2025 akan berlangsung pada 11 hingga 14 September di Sunway Pyramid. Silent Teddies antara perusahaan sosial yang dipilih menyertai pameran jualan tersebut.
“Saya berharap Silent Teddies akan terus cemerlang dalam memperkasakan golongan OKU pendengaran dengan memberi latihan kemahiran, menjana ekonomi dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif, SME Corp. Malaysia Rizal Dato’ Nainy, Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) Viviantie Sarjuni dan Pengasas Silent Teddies Cindy Leong.
Comments