top of page

Sindiket Visa Palsu 'David Lawrence' Tumpas

  • nabalunews
  • 1 hour ago
  • 2 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns


27 Februari 2026


KUALA LUMPUR: Kejayaan besar membabitkan pemalsuan dokumen perjalanan antarabangsa berjaya dipatahkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JIMWPKL) apabila menumpaskan sindiket "David Lawrence " yang aktif menawarkan visa palsu ke negara-negara Eropah dengan bayaran sehingga RM20,000 setiap dokumen.


Kedua-dua dalang sindiket yang juga pasangan suami isteri warga Bangladesh berusia lingkungan 30-an telah didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur pada 23 Februari 2026 dan mengaku bersalah atas sembilan pertuduhan. Mahkamah menjatuhkan hukuman denda berjumlah RM112,000 dan tertuduh diperintahkan menjalani hukuman penjara 45 bulan selepas gagal membayar denda berkenaan. Selepas selesai menjalani hukuman, mereka akan dihantar pulang ke negara asal serta disenaraihitamkan daripada memasuki Malaysia selama-lamanya.


Menurut kenyataan rasmi JIMWPKL, kejayaan ini adalah hasil risikan selama tiga bulan oleh Sektor Risikan, Bahagian Penguatkuasa bermula November 2025. Sindiket dipercayai aktif sejak lapan bulan lalu dengan menjadikan kediaman di Sungai Besi sebagai markas operasi memproses visa antarabangsa palsu untuk pelanggan di Bangladesh.


"Modus operandi sindiket adalah dengan menerima dokumen pelanggan dari Bangladesh melalui kurier antarabangsa sebelum dipalsukan menggunakan pelbagai peralatan tidak dibenarkan. Dokumen palsu ini kemudiannya digunakan bagi tujuan perjalanan ke negara-negara Eropah," jelas kenyataan tersebut.


Bertindak atas maklumat risikan, serbuan telah dilaksanakan pada 10 Februari 2026 di sebuah kediaman di Sungai Besi. Hasil serbuan berjaya merampas beberapa pasport Bangladesh, cop palsu negara asing, slip imigresen disyaki palsu, telefon bimbit, komputer riba serta pelbagai peralatan lain yang digunakan dalam kegiatan tersebut.


Jabatan Imigresen Malaysia menegaskan bahawa tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam pemalsuan dokumen dan pelanggaran undang-undang imigresen di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta mana-mana peraturan atau perundangan lain yang berkaitan.


Orang ramai adalah diseru untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang kepada Jabatan Imigresen Malaysia bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terus terpelihara.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page