Siti Nurhaliza Dilantik Profesor Adjung UiTM
- nabalunews
- 9 minutes ago
- 2 min read

6 November 2025
SHAH ALAM: Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza dilantik sebagai Profesor Adjung dalam bidang keusahawanan bagi Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP) di Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin, berkata pelantikan berkenaan merupakan pengiktirafan terhadap sumbangan besar Siti Nurhaliza bukan sahaja dalam bidang seni, malah dalam dunia keusahawanan.
“UiTM amat berbangga menerima Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai sebahagian daripada keluarga besar universiti.
“Pelantikan ini bukan sahaja mengiktiraf kejayaan beliau dalam industri kreatif dan keusahawanan, tetapi juga menandakan permulaan baharu dalam kolaborasi antara dunia akademia dan industri,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan surat pelantikan itu di Bangunan Canseleri UiTM, di sini, hari ini.
Beliau berkata, pelantikan biduanita itu juga mencerminkan komitmen UiTM dalam memperkasa pelajar agar menjadi usahawan berdaya tahan dan beretika, sejajar dengan aspirasi universiti untuk menjadi “Globally Renowned University by 2025”.
“Pelantikan ini akan memperkukuh ekosistem keusahawanan UiTM serta membuka ruang kepada pelajar untuk menimba ilmu terus daripada tokoh yang telah membina empayar perniagaan dengan nilai, kejujuran dan ketekunan,” katanya lagi.
Sebagai Profesor Adjung UiTM, Siti Nurhaliza akan memainkan peranan penting dalam membimbing pelajar dan warga akademik melalui perkongsian pengalaman sebenar dunia keusahawanan, termasuk sesi masterclass, entrepreneurship forum dan industry mentorship.
Beliau juga akan membantu memperkukuh hubungan strategik antara UiTM dan industri kreatif serta membuka peluang kerjasama rentas bidang dalam pengkomersialan idea dan inovasi pelajar.
Sementara itu, Siti Nurhaliza dalam ucapannya menzahirkan rasa terharu atas penghargaan dan kepercayaan UiTM dengan pelantikan itu yang dibuat berdasarkan pengalaman luas dalam bidang perniagaan.
“Saya amat berbesar hati menerima pelantikan ini. Keusahawanan bagi saya bukan hanya tentang keuntungan, tetapi tentang nilai, kejujuran dan tanggungjawab sosial.
“Saya berharap dapat berkongsi pengalaman sebenar dunia perniagaan agar pelajar memahami bahawa kejayaan datang daripada usaha gigih, kesungguhan dan keikhlasan,” katanya.














