Situasi influenza terkawal, tiada mutasi baru – KKM
- nabalunews
- Oct 6
- 2 min read

6 Oktober 2025
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan situasi semasa jangkitan influenza di seluruh negara berada dalam keadaan terkawal, meskipun 15 kluster jangkitan baharu dilaporkan pada Minggu Epidemiologi (ME) 39/2025 berbanding tiga kluster minggu sebelumnya.
KKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan jumlah keseluruhan setakat ini adalah 214 kluster, menurun 33 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas, dengan majoriti melibatkan institusi pendidikan termasuk sekolah dan tadika, tanpa kematian dilaporkan.
“Survelan makmal mengesahkan tiada mutasi baharu dan peningkatan kes berpunca daripada strain sedia ada dengan dominasi Influenza A (H3), selaras dengan trend di Hemisfera Selatan.
"Peningkatan kes berkemungkinan didorong aktiviti sosial dan perjalanan selepas musim cuti," menurut kenyataan itu.
Kementerian itu memaklumkan sepanjang September tahun ini, kadar penyakit seakan influenza atau Influenza-Like Illness (ILI) kekal stabil sekitar 5.65 peratus hingga 6.25 peratus.
Selain itu, kemasukan ke hospital bagi kes Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) adalah 10.65 peratus pada minggu sebelumnya (ME 38/2025) tetapi telah menurun kepada 9.59 peratus pada ME 39/2025.
“KKM sentiasa memantau trend jangkitan influenza mahupun kejadian kluster jangkitan saluran pernafasan melalui sistem pelaporan sedia ada dan daripada lokasi sentinel yang telah dikenal pasti di seluruh negara.
"Secara umum, jangkitan influenza lazimnya ringan dan pulih dalam seminggu tetapi boleh menjadi serius bagi golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas, ibu hamil, dan pesakit kronik," menurut kenyataan itu.
Menurut KKM, mengambil kira peningkatan kes dan kluster yang dilaporkan di institusi pendidikan, pihak sekolah disarankan supaya memantau pelajar yang bergejala dan memastikan pengasingan dilaksanakan dengan segera, khususnya bagi pelajar yang tinggal di asrama.
KKM juga menggalakkan pemakaian pelitup muka bagi murid, guru, dan kakitangan yang bergejala atau berisiko tinggi serta memastikan kebersihan persekitaran terjaga dan memaklumkan segera kepada Pejabat Kesihatan Daerah sekiranya berlaku peningkatan kes.
Dalam masa sama, kementerian turut menasihati orang ramai untuk mengamalkan langkah kesihatan kendiri seperti menjaga kebersihan diri, tidak berkongsi peralatan peribadi, serta mengamalkan etika batuk dan bersin yang betul.
Bagi individu yang bergejala dinasihatkan untuk berehat di rumah dan mengelak berada di tempat awam, manakala pemakaian pelitup muka digalakkan bagi mengurangkan risiko jangkitan.
“Selain itu, golongan berisiko tinggi termasuk warga emas, kanak-kanak kecil, wanita hamil dan pesakit kronik digalakkan mendapatkan vaksin influenza bermusim setiap tahun di klinik kesihatan terpilih.
“KKM akan terus memantau perkembangan kes influenza dalam dan luar negara berdasarkan maklumat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan pihak berkuasa serantau, serta memastikan langkah pencegahan dan kawalan dilaksanakan secara berterusan,” menurut kenyataan itu.


















Comments