SKM peruntuk RM360,000 kepada Koperasi LS2 Selangor Berhad
top of page
  • Wartawan Nabalu News

SKM peruntuk RM360,000 kepada Koperasi LS2 Selangor Berhad


15 April 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) memperuntukkan sejumlah RM360,000 kepada Koperasi LS2 Selangor Berhad bagi membiayai sebahagian kos pembangunan COOPMart koperasi itu.


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, kewujudan COOPMart itu bukan sahaja dapat membantu masyarakat setempat mendapatkan barangan asas pada harga berpatutan, tetapi ahli-ahli koperasi juga bakal menjana pendapatan tambahan melalui dividen sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI.


“Inilah kekuatan koperasi yang menekankan aspek kemuafakatan dalam memperkasakan ekonomi rakyat,” katanya ketika berucap merasmikan Coopmart Koperasi LA2 Selangor Berhad, di perumahan PPR Lembah Subang 2, Petaling Jaya, Selangor, di sini, hari ini.

Ewon berharap inisiatif membangunkan koperasi COOPMart Koperasi LS2 Selangor Berhad disambut baik dan diperluaskan ke lain-lain PPR yang mempunyai pejabat Sekretariat Muafakat Komuniti.


“Inisiatif ini wajar diberi perhatian selari dengan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) bagi menggalakkan penglibatan komuniti khususnya kelompok B40 melibatkan diri dalam gerakan koperasi berkaitan peruncitan sekali gus mendapatkan penjimatan belian produk barangan keperluan asas pada harga berpatutan,” katanya.


Pada majlis itu Ewon turut menyampaikan Pembiayaan Tabung Modal Pusingan

Suruhanjaya Koperasi Malaysia (TMPSKM) RM1,370,304 kepada Koperasi Penduduk Bandar Baru Bangi Berhad dan RM100,000 Bantuan Program Penubuhan Koperasi Prihatin Rakyat kepada Koperasi LS 2 Selangor Berhad.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan Kuskop Datuk Zamri Salleh, Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Negeri Selangor Rodziah Ismail, Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung dan Timbalan Pengerusi Eksekutif SKM Datuk Umar Sarim Saidin.

bottom of page