SKMM mulakan rundingan awam cadangan kerangka peraturan ‘spam’
- nabalunews
- Aug 13, 2025
- 1 min read

13 Ogos 2025
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini memulakan rundingan awam selama dua minggu berhubung cadangan Kerangka Peraturan bagi Pesanan Elektronik Komersial Tidak Diingini (UCEM) atau lazimnya dikenali sebagai ‘spam’.
SKMM dalam satu kenyataan berkata, inisiatif berkenaan selaras dengan Seksyen 233A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang diperkenalkan melalui pindaan perundangan yang diwartakan pada Februari tahun ini.
Katanya, kerangka peraturan berkenaan bertujuan memperkukuh perlindungan pengguna, menggalakkan amalan pemasaran digital yang bertanggungjawab serta memupuk ekosistem digital lebih selamat dan dipercayai.
“Selaras dengan peruntukan baharu ini, SKMM sedang merangka perundangan subsidiari bagi mewujudkan struktur kawal selia yang jelas, utuh dan berkesan untuk menangani peningkatan penghantaran UCEM,” menurut kenyataan itu.
Menurut SKMM, rundingan awam itu mengundang maklum balas pelbagai pihak berkepentingan termasuk pemain industri, pertubuhan masyarakat sivil, kumpulan pengguna, pembuat dasar dan orang awam.
Justeru katanya, semua pihak dijemput untuk meneliti dokumen rundingan dan mengemukakan pandangan terhadap pendekatan kawal selia yang dicadangkan sepanjang tempoh rundingan berlangsung pada 13 hingga 5 petang, 27 Ogos ini.
“Inisiatif ini mencerminkan komitmen SKMM terhadap proses pembentukan dasar yang telus, inklusif, konsultatif dan berasaskan bukti,” katanya.
Maklumat lanjut dan dokumen rundingan boleh diakses di laman sesawang rasmi SKMM di pautan https://www.mcmc.gov.my/en/media/announcements/public-consultation-on-unsolicited-commercial-ele.















Comments