top of page

SKPS dan BUDI95 Perkukuh Penguatkuasaan Digital

  • nabalunews
  • Sep 29
  • 2 min read

ree

29 September 2025


KOTA KINABALU: Pelaksanaan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dan BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dilihat mampu memperkukuh ketangkasan penguatkuasaan serta memastikan subsidi bahan api benar-benar sampai kepada rakyat yang layak.


Kedua-dua inisiatif itu merupakan strategi berkesan dalam menangani ketirisan subsidi petrol RON95 yang telah berlarutan sejak sekian lama.


Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pelaksanaan SKPS dan BUDI95 ini selaras dengan agenda penguatkuasaan digital melalui pengurusan risiko ketirisan.

ree

Katanya, ia juga merangkumi pemantauan transaksi dan rantaian jual beli secara menyeluruh melibatkan syarikat minyak, stesen minyak, syarikat pengguna, hinggalah kepada individu.


“Dengan pelaksanaan SKPS dan juga BUDI95 iaitu penggunaan ‘Fleet Card’ dan juga MyCard ini, kita akan dapat meneliti, mengesan transaksi-transaksi yang meragukan dan ini direkodkan secara digital.


“Dan melalui rekod secara digital ini kita akan dapat mengambil tindakan dengan lebih berkesan dengan lebih segera berbanding dengan penguatkuasaan yang dilaksanakan sebelum ini, jika kita tidak mempunyai sebarang data dan maklumat secara digital tersebut,” katanya.

ree

Armizan berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Hari Bertemu Pelanggan SKPS RON95 Peringkat Negeri Sabah, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.


Armizan menegaskan, tindakan tegas boleh dikenakan terhadap mana-mana pihak yang melakukan manipulasi, penyelewengan atau penyeludupan petrol RON95.


Katanya, individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun, manakala syarikat boleh dikenakan denda sehingga RM2 juta, mengikut peruntukan Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122].

ree

Sementara itu, pelaksanaan rintis BUDI95 selama dua hari bermula 27 dan 28 September lalu berjalan lancar dengan melibatkan dua kategori iaitu anggota keselamatan dan penerima Sumbangan Tunai RAHMAH (STR).


Armizan berkata, berdasarkan rekod Kementerian Kewangan, seramai 27,916 pengguna di Sabah telah memanfaatkan BUDI95 pada hari kedua dengan menikmati harga subsidi RM1.99 seliter di pam.


“Alhamdulillah sistem telah berjalan secara lancar dan bagi Negeri Sabah sendiri kita dapati semalam daripada awal pagi sehinggalah lewat malam, sebanyak 27,916 pengguna di Sabah telah memanfaatkan pembelian subsidi RON95 ini menggunakan MyCard.


“Untuk pendaftaran SKPS pula, sehinggalah semalam 28 September, bermula 15 September hingga 28 September, bagi seluruh negara sebanyak 6,409 syarikat telahpun mendaftar yang melibatkan 14,527 kenderaan.


“Bagi Sabah 357 syarikat dengan 601 kenderaan dan Sarawak pula adalah sebanyak 146 syarikat dengan 356 kenderaan,” katanya.


Armizan berkata, pelaksanaan penuh penyasaran subsidi petrol RON95 melalui BUDI95 akan bermula pada 30 September ini dan dijangka memberi manfaat kepada 16 juta rakyat Malaysia.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page