SME Bank bantu lebih 23,800 PMKS, sedia bantuan kewangan lebih RM47 bilion
30 April 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: SME Bank Malaysia, satu daripada agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) telah menyokong lebih 23,880 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan menyediakan bantuan kewangan melebihi RM47 bilion sehingga kini.
Presiden Kumpulan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank Malaysia, Datuk Wira (Dr.) Aria Putera Ismail, SME Bank akan terus melaksanakan mandat kerajaan untuk membangun dan memacu pertumbuhan PMKS serta meningkatkan inisiatif dalam menyumbang kepada kemajuan ekonomi Madani.
“Matlamat kami adalah untuk memperkasakan PMKS dan memacu pertumbuhan ekonomi
yang inklusif dan lestari
“SME Bank mengamalkan model pengurusan tadbir urus yang berkesan melalui kepemimpinan strategik dan meningkatkan takat kerangka pengurusan risiko, memastikan persekitaran yang selamat serta sokongan pembiayaan dan pembangunan kapasiti yang optimum bagi PMKS,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Aria Putera berkata, dengan piawaian pematuhan yang ketat, SME Bank mendorong ketelusan dan akauntabiliti, meningkatkan keyakinan PMKS terhadap integriti sistem kewangan.
“Komitmen ini disokong dengan pengiktirafan anugerah berprestij, 'Anugerah Integriti, Tadbir Urus dan Anti Rasuah (AIGA 2022)' dan pensijilan MS ISO 37001:2016 ABMS,” katanya.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dalam sesi pertemuan dengan entiti kerajaan baru-baru ini menekankan bahawa syarikat milik kerajaan khususnya syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bukan sahaja berperanan dalam mencapai objektif komersial dan pelaburan tetapi juga sebagai ejen tanggungjawab sosial.
Aria Putera berkata, SME Bank telah memimpin inisiatif transformasi untuk memperluas akses bagi PMKS Bumiputera kepada sumber kewangan dan peluang global.
“Ini termasuk memperluas usaha melintasi sempadan seperti program padanan perniagaannya, SME Bank XCESS, Business Exports Programme (BEP), dan Program Pembangunan Kapasiti & Keupayaan Vendor (PPKV).
“Usaha-usaha ini dapat memperkasa PMKS untuk terlibat dalam pasaran global, memupuk kemakmuran ekonomi, dan memperkukuh daya saing Malaysia di arena antarabangsa,” katanya.
Katanya lagi, SME Bank telah memimpin program komuniti yang memberi impak seperti iTEKAD Ishraf dan iTEKAD Penjana Komuniti yang bertujuan untuk memperkasakan usahawan yang kurang bernasib baik dan memupuk pembangunan komuniti lestari dengan peruntukan sebanyak RM 11.3 juta, selaras dengan komitmen kepada tanggungjawab sosial korporat.
“Melalui anak syarikat milik penuh SME Bank, The Centre for Entrepreneur Development and Research (CEDAR), yang berperanan sebagai pusat latihan keusahawanan dengan menawarkan sokongan dan bimbingan yang direka khusus kepada lebih 80,000 peserta program untuk membantu perjalanan keusahawanan mereka sejak penubuhannya pada tahun 2013.
"Dengan komitmen kepada keterangkuman, SME Bank Malaysia menawarkan program pembangunan usahawan yang dikhususkan dan perkhidmatan sokongan kepada PMKS yang mendapat perkhidmatan maupun yang belum tersedia sepenuhnya.
“Beroperasi dengan mandat proaktif dan reaktif, SME Bank tetap tangkas dalam menangani keperluan PMKS yang berkembang pada peringkat perniagaan yang berbeza, memastikan bahawa inisiatifnya kekal
responsif dan berkesan,” katanya.
Comments