top of page

SME Corp. Malaysia meterai MoU dengan Monsha'at, Arab Saudi, Potensi Nilai Dagangan Berjumlah RM100 Juta

nabalunews


6 November 2024


RIYADH: SME Corp. Malaysia menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Small and Medium Enterprises General Authority (Monsha'at), Arab Saudi sempena pameran perniagaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) terbesar di Arab Saudi-BIBAN24 anjuran Monsha'at yang berlangsung dari 5 hingga 9 November 2024.


Bagi menyokong kerjasama antara kedua-dua pihak, sebanyak 30 entiti perniagaan tempatan yang terdiri daripada 28 PKS dari sektor pertumbuhan tinggi, francais, makanan dan minuman serta 2 koperasi telah menyertai acara ini di mana Malaysia mensasarkan potensi nilai dagangan berjumlah RM100 juta daripada aktiviti berkaitan perniagaan yang dianjurkan sepanjang 5 hari acara tersebut.


Majlis menandatangani MoU yang diadakan di Riyadh Front Exhibition and Conference Centre ini juga adalah lonjakan penting dalam usaha SME Corp. Malaysia, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), untuk mempercepatkan transformasi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menjadi firma pertumbuhan tinggi.


MoU ini dijangka berupaya mengukuhkan lagi hubungan dua hala dan memupuk kerjasama rentas ekonomi khususnya dalam pembangunan PMKS bagi kedua-dua negara.


Selain menggalakkan kerjasama erat dalam perkongsian maklumat dan amalan terbaik berkaitan pembangunan dan pertumbuhan PMKS, MoU ini juga bertujuan untuk mewujudkan inisiatif jangka panjang yang menyokong pertumbuhan perniagaan dua hala.


Ini sekaligus akan dapat meningkatkan rangka kerja sokongan untuk PMKS dan membentuk asas ekosistem PMKS yang berdaya tahan dan inovatif di Malaysia dan Arab Saudi.


MoU ini telah ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif, SME Corp. Malaysia, Rizal Nainy dan rakan sejawatnya, Gabenor Monsha'at, Sami Ibrahim Alhussaini.


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick yang menyaksikan pemeteraian MoU ini berkata menerusi perkongsian pengalaman dan kepakaran, ekosistem keusahawanan yang lebih dinamik dapat diwujudkan bagi memberi manfaat kepada kedua-dua negara.


"Kita boleh meneroka usaha sama dalam bidang seperti teknologi, pendidikan dan industri halal dengan memanfaatkan kekuatan masing-masing dalam pembangunan PMKS," katanya.


Rizal berkata MoU ini bertujuan untuk mewujudkan rangka kerja asas bagi kerjasama dalam perkongsian maklumat dan amalan terbaik, dengan tumpuan kepada pembinaan kapasiti dan program PMKS pertumbuhan tinggi yang memudahkan akses pasaran, serta inisiatif untuk pemindahan pengetahuan dalam aspek pendigitalan, kelestarian, inovasi dan keusahawanan.


"Buat julung-julung kalinya kami membawa 30 entiti perniagaan Malaysia untuk menembusi pasaran Arab Saudi yang menawarkan potensi besar," katanya.


BIBAN24, dengan tema 'Global Destination for Opportunities’, bermatlamat mengukuhkan kedudukan Arab Saudi sebagai destinasi utama bagi usahawan di peringkat serantau dan global.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page