SME Corp sedia RM117 juta laksana program PMKS tahun ini
- nabalunews
- 54 minutes ago
- 1 min read

9 Februari 2026
KUALA LUMPUR: Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) kini boleh mula mengemukakan permohonan bagi menyertai program tahun 2026 di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) yang dilaksanakan oleh SME Corp. Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal Nainy berkata, sebanyak RM117 juta telah diperuntukkan bagi melaksanakan lapan program PMKS yang merangkumi aspek pertumbuhan tinggi dan keterangkuman.
Menurutnya, RMK13 bagi tempoh 2026 hingga 2030 memberi penekanan kepada agenda penskalaan PMKS, dengan matlamat menaik taraf perniagaan daripada kategori mikro kepada kecil, dan seterusnya kepada sederhana.
“Usaha penskalaan ini merupakan agenda utama kerajaan dalam melonjakkan pertumbuhan ekonomi serta membentuk ekosistem PMKS yang lebih berdaya tahan dan berdaya saing.
“Sasarannya adalah untuk meningkatkan jumlah firma sederhana daripada 1.6 peratus kepada lima peratus menjelang tahun 2030, sekali gus dijangka meningkatkan sumbangan KDNK PMKS sehingga RM1 trilion,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi perkongsian bersama PMKS serta wakil persatuan dan dewan perniagaan sempena Hari Terbuka@Hab PMKS di SME Corp. Malaysia, Platinum Sentral, di sini, baru-baru ini.
Hari Terbuka@Hab PMKS merupakan antara inisiatif agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) itu dalam memperkukuh peranannya sebagai pusat rujukan utama maklumat dan khidmat nasihat perniagaan kepada PMKS.
Sejak dilaksanakan pada Januari 2024, inisiatif tersebut telah memberi manfaat kepada lebih 100 PMKS setiap bulan melalui kerjasama strategik melibatkan pelbagai kementerian, agensi kerajaan serta pihak swasta.
PMKS yang berminat mendapatkan maklumat lanjut mengenai program itu boleh melayari laman sesawang di pautan www.smecorp.gov.my dan saluran media sosial rasmi SME Corp.Malaysia atau berkunjung ke Hab PMKS di Ibu Pejabat dan 12 Pejabat Negeri di seluruh negara.














