top of page

SMM Ambil Tindakan Saman Fitnah Atas Penerbitan Berita Oleh MalaysiaNow

  • nabalunews
  • 14 hours ago
  • 2 min read

25 Julai 2025


KOTA KINABALU: Sabah Mineral Management Sdn Bhd (“SMM”) mengambil tindakan saman fitnah berhubung laporan berita dan video yang diterbitkan portal ‘MalaysiaNow’ berkaitan lesen mencarigali (Prospecting Licence) kepada Bumi Suria Sdn Bhd.


Laporan berita yang disiarkan portal berkenaan didakwa mengandungi pelbagai dakwaan yang tidak berasas, bersifat fitnah serta direka bentuk untuk mengelirukan orang ramai.


Dalam kenyataan yang dikeluarkan SMM berkata, penerbitan berita itu bersifat berat sebelah, tidak adil serta menimbulkan persepsi bahawa ia merupakan satu usaha yang dirancang untuk menjejaskan reputasi dan nama baik SMM termasuk barisan pengarah dan pegawainya.


Katanya, bagi mengelakkan sebarang kekeliruan, SMM menegaskan syarikat berkenaan tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan lesen mencarigali (Prospecting License) sebaliknya ia hanya boleh dikeluarkan oleh Jabatan Tanah dan

Ukur Sabah (JTU).


“Perkara itu telah dijelaskan Pengarah JTU yang mengesahkan tiada sebarang lesen mencarigali atau apa-apa lesen berkaitan mineral pernah dikeluarkan oleh JTU kepada Bumi Suria Sdn Bhd.


“SMM telah dilantik oleh Kerajaan Negeri Sabah sebagai entiti pengurusan yang bertanggungjawab dalam menyelia, menyelaras dan melaksanakan Pemeriksaan Usaha Wajar (Due Diligence) teknikal serta kewangan berkaitan permohonan lesen mencarigali di negeri Sabah,” katanya.


Menurutnya, SMM bertanggungjawab melaksanakan pemantauan dan pengawasan segala peraturan dan polisi yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri dalam industri perlombongan di Sabah.


Katanya, bagi hal permohonan lesen, peranan SMM adalah terhad kepada mengeluarkan Surat Kebenaran Bersyarat untuk Memohon lesen mencarigali selepas Mesyuarat Lembaga Pengarah diadakan.


“Surat ini tidak bermaksud pemberian atau kelulusan sebarang lesen. Pemohon yang berminat perlu mengemukakan dokumen lengkap dan menjalani proses semakan wajar oleh SMM sebelum agensi kerajaan berkaitan menjalankan semakan lanjut,”katanya.


Sementara itu, berhubung isu Bumi Suria Sdn Bhd, SMM menegaskan Ahli Lembaga Pengarah syarikat itu telah mempertimbangkan permohonan Bumi Suria Sdn Bhd dan memberikan kebenaran bersyarat untuk memohon lesen mencarigali bagi kawasan tertentu.


“Walau bagaimanapun, syarikat tersebut gagal mengemukakan dokumen-dokumen yang diperlukan untuk disemak dalam tempoh yang ditetapkan.


“Sehubungan itu, pada 24 Mac 2025, SMM telah mengeluarkan Surat Pembatalan Kebenaran Memohon Lanjut lesen mencarigali kepada Bumi Suria Sdn Bhd.


“Surat tersebut menyatakan bahawa tempoh kelulusan untuk membuat permohonan lanjut telah tamat dan syarikat berkenaan tidak mengemukakan permohonan rasmi kepada SMM dalam tempoh yang ditetapkan.


“Oleh itu, kelulusan bersyarat untuk membuat permohonan lanjut tersebut terbatal secara serta-merta. Fakta ini telah diketepikan sepenuhnya oleh MalaysiaNow dalam laporan mereka,” tegasnya.


Dalam pada itu, SMM mendakwa portal MalaysiaNow telah menyalahgunakan imej Ketua Pegawai Eksekuf SMM, Natasha Sim menerusi penerbitan rakaman audio yang dikaitkan dengan mesyuarat Lembaga Sabah Mineral Management (SMM) pada Mei 2024.


“Suara dalam rakaman tersebut bukan milik Natasha Sim. Walaupun begitu, portal tersebut menggunakan imej dan nama beliau dalam konteks suara audio berkenaan yang menimbulkan kekeliruan dan tanggapan tidak tepat terhadap penglibatan beliau dalam isu yang dibangkitkan.


“Kegagalan MalaysiaNow mengesahkan kesahihan maklumat dengan SMM ataupun Natasha sebelum penerbitan merupakan pelanggaran serius terhadap etika kewartawanan.


“Ia sekali gus mencetuskan kekeliruan dan tanggapan negatif terhadap SMM serta kepimpinannya. Sehubungan itu, SMM mengeluarkan amaran keras kepada mana-mana pihak agar tidak mengulangi atau merujuk kepada laporan MalaysiaNow yang bersifat palsu, mengelirukan dan berunsur fitnah.


“SMM akan teruskan dengan tindakan saman fitnah terhadap MalaysiaNow dan sejurusnya pihak-pihak terlibat,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page