Sokongan Terhadap UPKO Kudat Semakin Kukuh
- nabalunews
- Oct 20, 2024
- 1 min read

20 Oktober 2024
KUDAT: Sokongan terhadap Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) di Bahagian Kudat semakin kukuh, seperti yang dibuktikan melalui majlis perasmian cawangan baru dan penerimaan keahlian baru yang berlangsung pada 19 Oktober lalu di Kampung Lumikog, dalam kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Mangkapon Bengkoka.
Ketua Bahagian UPKO Kudat, yang juga Timbalan Setiausaha Agung 1 UPKO, Junsim Rumunzing, hadir merasmikan majlis tersebut.
Dalam ucapannya, beliau mengalu-alukan lebih 35 ahli baru yang hadir dan menzahirkan rasa bangga atas peningkatan sokongan masyarakat terhadap UPKO.
Junsim turut berkongsi pandangannya berdasarkan lawatan beliau ke beberapa PDM seperti PDM Pandan Mandamai, PDM Pinapak, dan PDM Dandun.
Menurut beliau, sambutan rakyat terhadap UPKO di kawasan-kawasan ini sangat positif yang terbukti dengan penubuhan beberapa cawangan baru parti.
Selain itu, beliau juga menegaskan bahawa kerjasama antara UPKO dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) melalui Majlis Permuafakatan Pakatan Harapan (PH) di Bengkoka semakin kukuh.
Junsim, selaku Pengerusi bersama majlis tersebut bersama Timbalan Pengerusi, Samad Said, melihat ini sebagai satu petanda baik untuk sokongan PH di kawasan berkenaan.
Dalam majlis itu juga, Junsim turut menyampaikan sumbangan berupa 30 pek beras kepada ahli-ahli cawangan, sebagai tanda penghargaan dan simbol perjuangan UPKO dalam menangani isu-isu rakyat.
Beliau menekankan bahawa UPKO sentiasa komited dalam memperjuangkan hak dan kebajikan rakyat.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Ketua PDM Mangkapon, Bruslim Mergunzil, serta beberapa Ahli Jawatankuasa (AJK) UPKO Bahagian Kudat yang mengiringi Ketua Bahagian sepanjang program.
Commentaires