SPP beri jaminan percepat pengambilan khas guru - RadziSPP beri jaminan percepat pengambilan khas guru - Radzi
top of page
  • Wartawan Nabalu News

SPP beri jaminan percepat pengambilan khas guru - Radzi


18 Januari 2022 Oleh Wartawan Nabalu News KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) memberi jaminan akan menyelesaikan sepenuhnya urusan pengambilan khas guru secara ‘one-off’ bagi 18,702 pegawai perkhidmatan pendidikan secepat mungkin. Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin, memaklumkan perkara tersebut di laman rasmi Facebooknya petang kelmarin selepas pertemuan beliau bersama Pengerusi SPP yang baharu Datuk Seri Dr Mazlan Yusoff. Menurut Radzi, perkara itu perlu diselesaikan secepat mungkin bagi menyediakan guru berkualiti yang mencukupi untuk memenuhi kekosongan jawatan sedia ada. “Terima kasih SPP kerana telah selesai menjalankan temuduga bagi pengambilan khas ini dan sebahagian daripada calon berjaya telah menerima tawaran lantikan. “Dalam hal ini, KPM amat memerlukan bantuan segera SPP untuk menyelesaikan baki pengambilan guru tersebut bagi membolehkan penempatan guru dibuat sebelum sesi persekolahan akan datang bermula,” katanya. Selain itu, beliau juga memohon agar SPP dapat mempercepatkan segala urusan temu duga bagi guru lantikan secara Contract of Service dan guru interim yang akan tamat kontrak pada tahun ini, bermula April. Guru interim yang akan tamat kontrak itu melibatkan guru guru interim bagi mata pelajaran bahasa Inggeris lantikan tahun 2019, guru interim mata pelajaran Pendidikan Islam serta guru interim JPN Sabah dan Sarawak. Tambah Radzi, KPM dan SPP juga telah membincangkan isu berkaitan lebihan graduan pendidikan bagi mata pelajaran tertentu termasuk graduan Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan pihaknya bersama SPP akan meneliti perkara tersebut. “Selain guru, kami turut membincangkan tentang pengambilan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) yang perlu disegerakan bagi membantu melancarkan pengoperasian sekolah,” katanya.

bottom of page