SPRM fokus pulih aset, tangani kes berskala besar
- nabalunews
- Jan 15
- 2 min read

15 Januari 2026
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menetapkan hala tuju yang jelas dan berfokus bagi tempoh lima tahun akan datang dengan memberi keutamaan kepada pembanterasan jenayah kewangan berskala besar, pemulihan aset serta tindakan tegas terhadap ketirisan wang kerajaan.
Menurut SPRM, berdasarkan rekod enam tahun lalu, negara dianggarkan mengalami kerugian mencecah RM277 bilion akibat jenayah kewangan melibatkan kecurian dan ketirisan dana awam, sekali gus menuntut pendekatan penguatkuasaan yang lebih agresif dan berimpak tinggi.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, SPRM akan terus memberi tumpuan kepada kes-kes berprofil tinggi dan berskala besar, khususnya yang melibatkan kehilangan aset negara, selari dengan usaha pembersihan menyeluruh terhadap amalan rasuah yang merugikan kerajaan.
“Isu kritikal rasuah tetap wujud walaupun ada harapan ia berkurangan. Justeru, SPRM perlu terus menggembleng tenaga dan sumber bagi memastikan usaha memulihkan aset serta membawa pelaku ke muka pengadilan dapat dilaksanakan secara berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi segmen Sembang Tamu di radio rasmi agensi itu, MACCfm, di ibu pejabat SPRM pada Rabu.
Dalam pada itu, Azam turut memuji tahap dedikasi dan komitmen tinggi warga SPRM yang terus bekerja keras memastikan siasatan kes dapat diselesaikan walaupun berdepan tekanan serta serangan persepsi di media sosial.
Katanya, tahun 2026 bermula dengan pendedahan beberapa kes besar hasil cetusan maklumat awam, namun menegaskan bahawa SPRM sebenarnya telah berada lebih awal dan jauh dalam menjalankan siasatan kes-kes berkenaan.
“Peranan SPRM bukan sahaja tertumpu kepada aspek operasi dan penguatkuasaan, malah turut merangkumi usaha pencegahan bagi mendidik masyarakat, khususnya golongan muda.
“Mendidik hampir 18 juta orang (berdasarkan data pemegang lesen kenderaan) bukan tugas mudah, namun sektor pencegahan perlu memainkan peranan lebih agresif dan mengadakan program berimpak tinggi kerana terdapat banyak maklumat tidak tepat di media sosial yang boleh mempengaruhi persepsi,” ujarnya.
Mengulas mengenai serangan persepsi dan kecaman di dunia maya, beliau berkata persepsi tidak boleh dihalang sepenuhnya, namun ia perlu diurus dengan pantas dan berkesan melalui pemantauan serta tindak balas strategik.
Sehubungan itu, katanya Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) SPRM diminta sentiasa peka terhadap sentimen dan komen berkaitan agensi itu di platform media sosial agar dapat diuruskan dengan lebih berkesan.
Dalam aspek kerjasama media, beliau menyuarakan hasrat untuk merangka satu pelan strategik bersama Media Prima Berhad tahun ini bagi memastikan penyampaian maklumat berkaitan kes SPRM lebih tersusun, berfakta dan berkesinambungan.
Beliau turut mengingatkan bahawa setiap tindakan dan usaha yang dilaksanakan oleh sektor dan bahagian di SPRM perlu mempunyai hala tuju yang jelas serta memberi impak tinggi kepada masyarakat.















Comments