SPRM peroleh perintah halang transaksi RM486.4 juta akaun Putera Turki Abdullah
- nabalunews
- 17 hours ago
- 1 min read

10 Oktober 2025
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya memperoleh perintah menghalang transaksi wang berjumlah AS$115,320,661.63 atau kira-kira RM486.4 juta disimpan dalam tiga akaun perbankan di Switzerland atas penama Putera Turki Abdullah Abdul Aziz Al-Saud.
SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, perintah menghalang itu dikeluarkan Hakim Mahkamah Tinggi Jenayah 1 Kuala Lumpur, Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor pada pendengaran kes pada Khamis.
Ia dibuat di bawah Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA), susulan permohonan difailkan SPRM pada 7 Oktober lalu.
"Permohonan ini berdasarkan maklumat diterima SPRM pada 2011, bahawa Putera Turki Abdullah Al-Saud telah menerima, memindah dan menggunakan hasil daripada penyelewengan dana 1MDB melalui akaun-akaun perbankan miliknya," menurut kenyataan itu.
“Menerusi perintah ini, SPRM berjaya menghalang transaksi melibatkan AS$87,148,732.89 dan AS$12,777,759.74 dalam dua akaun di J P Morgan, serta AS$15,394,169 dalam akaun di UBS Switzerland,” menurut kenyataan itu.
Comments