SPRM tubuh Kaukus Antirasuah, libatkan organisasi masyarakat sivil
- nabalunews
- Jul 10, 2025
- 2 min read

10 Julai 2025
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menubuhkan Kaukus Antirasuah melibatkan penyertaan organisasi masyarakat sivil (CSO), sebagai sebahagian inisiatif pelaksanaan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028.
NACS 2024-2028 dilancarkan pada 7 Mei lalu menggariskan lima tunjang utama iaitu Pendidikan, Kebertanggungjawaban Awam, Suara Rakyat, Penguatkuasaan dan Insentif.
SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, penubuhan kaukus itu merupakan pelaksanaan di bawah Strategi 3: Suara Rakyat, yang memberi keutamaan kepada pengupayaan suara rakyat dalam agenda pembanterasan rasuah.
“Ia adalah tindakan strategik menyokong substrategi 3.1, iaitu usaha mewujudkan saluran berstruktur bagi membolehkan CSO berkongsi kepakaran serta pandangan secara aktif melalui laporan dan cadangan tahunan kepada kerajaan.
"Inisiatif ini diterajui Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM dengan sokongan strategik dan teknikal daripada Institut Integriti Malaysia (IIM) selaku agensi rakan pelaksana,” katanya.
Menurut SPRM, keanggotaan kaukus bersifat inklusif dan mewakili pelbagai sektor masyarakat, termasuk belia, pelajar, komuniti korporat, usahawan serta wakil antarabangsa, bagi membentuk pendekatan kolaboratif dan menyeluruh.
Katanya, ia terdiri daripada pertubuhan berkelayakan dan memiliki kepakaran, pengalaman serta komitmen dalam bidang integriti, pencegahan rasuah dan tadbir urus.
“Setiap ahli bertanggungjawab menyumbang kepakaran dalam bidang masing-masing bagi perancangan dan pelaksanaan aktiviti kaukus berkenaan.
“Mereka juga berperanan sebagai agen penyebar maklumat berkenaan isu berkaitan rasuah, perantara antara organisasi dengan masyarakat dalam menyampaikan mesej pencegahan rasuah, pengemuka isu dan cadangan serta penggerak dalam pelaksanaan program bawah NACS,” jelasnya.
"Melalui pelaksanaan tersusun dan kolaboratif, SPRM yakin objektif NACS untuk memperkukuhkan budaya integriti, ketelusan dan kebertanggungjawaban semua peringkat masyarakat mampu dicapai," katanya.
Anggota kaukus CSO terdiri dari Anti-Bribery Management Systems Practitioners Malaysia (ABMS), Pertubuhan Anti Korupsi Malaysia (PAKAR), Transparency International (TI) Malaysia, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Business Integrity Alliance (BIA), dan Majlis Belia Malaysia (MBM).















Comments